Thursday, September 20, 2012

Program Ibadah Korban & Aqiqah 1433 H / 2012 M

Muslimin dan muslimat yang budiman, khususnya kariah Apartment Fasa 11 Presint 9 Putrajaya,


Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT di atas segala rahmat, nikmat keimanan, dan rezeki yang melimpah-ruah kepada kita. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW dan keluarga serta para sahabat baginda.

Kini bulan Zulhijjah hampir tiba, jesteru itu peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah korban adalah sentiasa dinanti-nantikan dan direbut oleh mereka yang berkemampuan.

Atas rasa amanah dan tanggungjawab kepada kariah setempat, Surau Saidina Ali Presint 9 Putrajaya sekali lagi akan menganjurkan “Program Ibadah Korban/Aqiqah Aidil Adha 1433H” sebagai inisiatif untuk menggalakkan umat Islam menunaikan ibadah korban di tempat mereka sendiri yang lebih memerlukan bantuan.

Sebagaimana kita ketahui Hari Raya Aidil Adha dijangka akan jatuh pada 26 Oktober 2012 (Jumaat), sekiranya masa mengizinkan dengan bilangan lembu korban yang sedikit maka program ini akan dianjurkan pada Hari Raya Aidil Adha itu sendiri yakni 26 Oktober 2012 (Jumaat). Jika masa tidak mengizinkan dengan bilangan lembu korban yang banyak serta pertembungan dengan solat Jumaat maka program ini akan dianjurkan pada hari berikutnya iaitu pada 27 Oktober 2012 (Sabtu). Namun tarikh sebenar Program Ibadah Korban/Aqiqah ini akan dimaklumkan kepada tuan-tuan/puan-puan pada/selepas 14 Oktober 2012 melalui notis di blok masing-masing, notis di Surau Saidina Ali, blog Surau Saidina Ali dan emel. Sila daftar alamat emel anda pada haspa@malaysiaairlines.com untuk mendapatkan berita-berita, notis-notis, program-program dan aktiviti-aktiviti Surau Saidina Ali yang terkini.

Pada tahun ini, satu bahagian lembu ditetapkan sebanyak RM380.00. Pembayaran boleh dibuat secara tunai atau cek sehingga tarikh tutup iaitu pada atau sebelum 14 Oktober 2012.

Kesemua pembayaran dengan borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada wakil blok seperti di bawah:

> Wakil Blok A - En. Samsul Bahar Md Yusuff (012 6177456)
> Wakil Blok B - En. Suhaimi Mustapha (012 6342289)
> Wakil Blok C - En. Aziz (019 6078451)

Atau terus kepada Bendahari Surau Saidina Ali En. Hassannuddin Sulaiman (013 3335313).

Ingin dimaklumkan juga bahawa, jika bersetuju, lebihan wang sumbangan akan dimasukkan ke dalam tabung Surau Saidina Ali. Sekiranya tidak bersetuju, wang akan dikembalikan dalam masa 14 hari selepas daripada tarikh perlaksanaan korban.

Borang penyertaan boleh didapati di Surau Saidina Ali. Boleh juga didapati melalui muat-turun di Borang Ibadah Korban & Aqiqah 1433 H / 2012 M atau emel kepada haspa@malaysiaairlines.com.

Semoga Allah menerima amal kebaikan kita semua. Dengan melaksanakan ibadah korban di tempat-tempat yang lebih memerlukan insya-Allah kita mendapat ganjaran yang berlipat ganda. Allah berfirman dalam surah Al-Hajj, ayat ke 37 yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu”.

Diriwayatkan oleh Tarmizi bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:


“Tiada dibuat oleh anak adam pada Aidil Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah SWT daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih".

Sekian. Terima kasih.

Pengerusi

Surau Saidina Ali

Apartment Fasa 11 Presint 9

Putrajaya

Wednesday, September 19, 2012

Tiga Kaedah Mengerjakan Ibadat Haji

Ibadat haji dilakukan dalam tiga (3) kaedah, sama ada:
  1. Haji Tamatuk
  2. Haji Ifrad
  3. Haji Qiran
Bagi Kebanyakan jemaah haji yang tiba lebih awal termasuk dari Malaysia, mereka biasanya mengerjakan haji tamatuk.

Haji Tamatuk

Mengerjakan haji tamatuk ialah mengerjakan umrah terlebih dulu dalam bulan haji sebelum mengerjakan haji. Mereka berihram umrah dan haji (2 kali) secara berasingan.

Mula-mula berniat ihram umrah di miqat yang ditetapkan dalam perjalanan ke Makkah. Selesai mengerjakan umrah mereka bertahallul.

Apabila tiba tarikh mengerjakan haji iaitu dimulai dengan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, mereka berihram sekali lagi iaitu ihram haji dari tempat tinggalnya di Makkah. Seterusnya ditunaikan ibadat haji hingga selesai.

Kaedah haji tamatuk dikatakan lebih afdal daripada haji qiran.

Mereka yang mengerjakan haji tamatuk dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, wajib berpuasa 10 hari, iaitu 3 hari dalam masa haji di Makkah dan 7 hari lagi selepas pulang ke kampung.

Sebab dikenakan dam atau denda kerana mereka membebaskan diri dari ihram dan larangan apabila masuk ke Makkah hingga tiba waktu berangkat ke Arafah.

Haji Ifrad

Haji ifrad ialah mendahulukan ibadat haji daripada umrah dengan niat ihramnya berasingan.

Inilah pekerjaan haji yang paling afdal daripada kaedah tamatuk dan qiran serta tidak dikenakan dam.

Biasanya ia dikerjakan jemaah haji yang lewat tiba di Makkah iaitu beberapa hari sebelum wukuf pada 9 Zulhijjah.

Anda berniat ihram mengerjakan haji di miqatnya iaitu di tempat yang ditentukan dalam perjalanan dari tanah air menuju ke Makkah. Apabila tiba di Makkah hendaklah menyempurnakan tawaf qudum (tawaf sunat) dan sa'ei (rukun haji).

Selepas itu ke Arafah untuk wukuf pada 9 Zulhijjah dan mengerjakan lain-lain tugas haji kecuali sa'ei kerana memadai dengan sa'ei yang dikerjakan selepas tawaf qudum ketika baru tiba di Makkah.

Selepas selesai mengerjakan ibadat haji termasuk bertahallul, ia keluar ke tanah haram seperti Ji'ranah atau Tana'im, lalu berniat ihram mengerjakan umrah pula. Seterusnya menyempurnakan rukun umrahnya iaitu tawaf, sa'ei dan bercukur.

Haji Qiran


Haji kaedah qiran ialah menggabungkan antara ibadat haji dan umrah, iaitu mengerjakan keduanya serentak.

Mereka berniat ihram di miqatnya dengan niat untuk berihram haji dan umrah sekali gus.

Rukun tawaf dan sa'ei diwajibkan sekali saja untuk haji dan umrah dalam kaedah haji qiran ini. Kebanyakan mereka yang mengerjakan haji qiran ialah mereka yang lewat tiba di Makkah, iaitu beberapa hari sebelum wukuf atau mereka yang tidak mempunyai masa yang lama di Makkah.

Demikian juga orang perempuan yang datang haid atau orang sakit yang sedang berihram umrah, tiba-tiba sampai tarikhnya untuk berangkat wukuf di Arafah. Ketika ini mereka boleh menambah niat ihram umrahnya dengan berniat ihram haji sekali gus. Jadilah haji qiran.

Mereka yang mengerjkan haji qiran dikenakan dam atau denda iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu wajib berpuasa 10 hari; iaitu 3 hari dalam masa haji di Makkah dan 7 hari lagi selepas pulang ke kampung halaman.