Wednesday, September 19, 2012

Tiga Kaedah Mengerjakan Ibadat Haji

Ibadat haji dilakukan dalam tiga (3) kaedah, sama ada:
  1. Haji Tamatuk
  2. Haji Ifrad
  3. Haji Qiran
Bagi Kebanyakan jemaah haji yang tiba lebih awal termasuk dari Malaysia, mereka biasanya mengerjakan haji tamatuk.

Haji Tamatuk

Mengerjakan haji tamatuk ialah mengerjakan umrah terlebih dulu dalam bulan haji sebelum mengerjakan haji. Mereka berihram umrah dan haji (2 kali) secara berasingan.

Mula-mula berniat ihram umrah di miqat yang ditetapkan dalam perjalanan ke Makkah. Selesai mengerjakan umrah mereka bertahallul.

Apabila tiba tarikh mengerjakan haji iaitu dimulai dengan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, mereka berihram sekali lagi iaitu ihram haji dari tempat tinggalnya di Makkah. Seterusnya ditunaikan ibadat haji hingga selesai.

Kaedah haji tamatuk dikatakan lebih afdal daripada haji qiran.

Mereka yang mengerjakan haji tamatuk dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, wajib berpuasa 10 hari, iaitu 3 hari dalam masa haji di Makkah dan 7 hari lagi selepas pulang ke kampung.

Sebab dikenakan dam atau denda kerana mereka membebaskan diri dari ihram dan larangan apabila masuk ke Makkah hingga tiba waktu berangkat ke Arafah.

Haji Ifrad

Haji ifrad ialah mendahulukan ibadat haji daripada umrah dengan niat ihramnya berasingan.

Inilah pekerjaan haji yang paling afdal daripada kaedah tamatuk dan qiran serta tidak dikenakan dam.

Biasanya ia dikerjakan jemaah haji yang lewat tiba di Makkah iaitu beberapa hari sebelum wukuf pada 9 Zulhijjah.

Anda berniat ihram mengerjakan haji di miqatnya iaitu di tempat yang ditentukan dalam perjalanan dari tanah air menuju ke Makkah. Apabila tiba di Makkah hendaklah menyempurnakan tawaf qudum (tawaf sunat) dan sa'ei (rukun haji).

Selepas itu ke Arafah untuk wukuf pada 9 Zulhijjah dan mengerjakan lain-lain tugas haji kecuali sa'ei kerana memadai dengan sa'ei yang dikerjakan selepas tawaf qudum ketika baru tiba di Makkah.

Selepas selesai mengerjakan ibadat haji termasuk bertahallul, ia keluar ke tanah haram seperti Ji'ranah atau Tana'im, lalu berniat ihram mengerjakan umrah pula. Seterusnya menyempurnakan rukun umrahnya iaitu tawaf, sa'ei dan bercukur.

Haji Qiran


Haji kaedah qiran ialah menggabungkan antara ibadat haji dan umrah, iaitu mengerjakan keduanya serentak.

Mereka berniat ihram di miqatnya dengan niat untuk berihram haji dan umrah sekali gus.

Rukun tawaf dan sa'ei diwajibkan sekali saja untuk haji dan umrah dalam kaedah haji qiran ini. Kebanyakan mereka yang mengerjakan haji qiran ialah mereka yang lewat tiba di Makkah, iaitu beberapa hari sebelum wukuf atau mereka yang tidak mempunyai masa yang lama di Makkah.

Demikian juga orang perempuan yang datang haid atau orang sakit yang sedang berihram umrah, tiba-tiba sampai tarikhnya untuk berangkat wukuf di Arafah. Ketika ini mereka boleh menambah niat ihram umrahnya dengan berniat ihram haji sekali gus. Jadilah haji qiran.

Mereka yang mengerjkan haji qiran dikenakan dam atau denda iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu wajib berpuasa 10 hari; iaitu 3 hari dalam masa haji di Makkah dan 7 hari lagi selepas pulang ke kampung halaman.


No comments:

Post a Comment