Monday, June 25, 2012

Kelebihan Bulan Rejab

BULAN REJAB MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Pengenalan
1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -
(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.
(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.
(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.
(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.

2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.

3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

Bulan Rejab Menurut Al-Quran

Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”
(Al-Baqarah: 194)

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …”
(At-Taubah: 36)

Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.

Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)

(2) Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.

Bulan Rejab Menurut As-Sunnah

Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.

Perselisihan Pendapat Mengenai Hadis-Hadis Berkaitan Kelebihan Bulan Rejab

Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang diklasifikasikan sebagai dha’if, sangat dha’if dan maudhu’ (palsu). Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.

(Hadis ini dikatakan mun’kar bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)

“Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”.

(Hadis ini juga dhai’f)

“Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)

Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha’if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya. Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah, beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak patut hanya disebabkan hadis itu dha’if, maka ia perlu diketepikan dan ditolak mentah-mentah. Hadis dha’if adalah tetap hadis dan ia bukannya maudhu’. Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu dha’if atau maudhu’ pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha’if tidaklah sampai menjejaskan hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam hadis yang dianggap dha’if ialah besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit. Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.

Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.

Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah.

Wallah hu’alam bissawab. 

Monday, June 11, 2012

Sedekah Pendinding Api Neraka

Berdekah, di antara amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan kepada umat Islam, tidak kira status atau taraf hidup mereka. Malah amalan mulia ini bukan hanya kepada orang-orang kaya, tetapi mereka yang berpendapatan rendah juga disarankan melakukannya, menurut kadar kemampuan masing-masing.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : Tangan yang di atas (orang yang memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).
Apatah lagi dalam kita melaksanakan ibadah puasa pada bulan Ramadan, yang merupakan bulan rahmat, bulan keampunan, bulan diturunkan di dalamnya al-Quran, bulan jihad dan bulan dilipatgandakan ganjaran pahala.
Oleh kerana hari ini genap 25 hari kita berpuasa, maka masih tidak terlambat lagi untuk merebut ganjaran pahala daripada amalan sedekah sempena bulan penuh keberkatan ini.
Sayangnya amalan bersedekah ini semacam bermusim, hatta pada bulan Ramadan jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain.
Semoga panduan dan pesanan daripada Ketua Unit Syariah dan Penerangan, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Shukri Yusoff yang ditemui baru-baru ini, dapat dijadikan bimbingan bersama.
Soalan : Apakah pengertian sedekah dan terangkan bentuk-bentuk sedekah sebagaimana yang disarankan oleh Islam?
Jawapan : Sedekah itu berasal daripada perkataan bahasa Arab, iaitu as-Sadakah : benar. Jadi apabila kita sebut tentang keimanan mahupun keyakinan kepada janji Allah s.w.t., sudah tentu di sana perlu kepada pembuktian.
Jelaslah sedekah itu adalah sebagai bentuk pembuktian kepada kebenaran iman kita dengan mengeluarkan sebahagian daripada harta kita yang Allah s.w.t. kurniakan. Malah apabila kita menyebut sedekah ini, hukumnya sunat, berbeza dengan nazar dan zakat.
Pun begitu, apabila kita menyentuh tentang bentuk-bentuk sedekah, segolongan orang miskin di kalangan sahabat telah mendatangi Baginda lalu bertanya: “Ya Rasulullah orang kaya telah menguasai segala pahala kebaikan, mereka sembahyang, puasa seperti yang kami lakukan.
Malah mereka mampu pula bersedekah dengan kelebihan harta mereka sedangkan kami tidak boleh?” Jawab Baginda: Tidakkah Allah telah membuatkan untuk kamu semua itu sesuatu yang kamu boleh sedekahkan. (Riwayat Muslim)
Di dalam hadis ini, Nabi hendak menceritakan tentang bentuk-bentuk sedekah yang disebut di dalam hadis ini, iaitu Sesungguhnya bertasbih itu merupakan sedekah dan setiap takbir juga merupakan sedekah, tahmid dan tahlil juga adalah bentuk sedekah.
Selain itu, setiap perkara atau perintah untuk membuat makruf, melarang orang membuat mungkar, itu juga adalah sedekah. Bersama atau bergaul dengan isteri, itu juga dikira sedekah.
Apabila sampai kepada soalan bersama dengan isteri, maka sahabat bertanya lagi:
“Adakah kami mendatangi isteri kami ini juga dikatakan sebagai satu bentuk sedekah? Lantas jawab Baginda: Apabila kamu mendatangi isteri kamu dan menunaikan hajat kamu, maka kamu akan mendapat pahala tetapi jika kamu mendatangi wanita lain yang bukan isteri kamu, sudah tentu ini merupakan satu bentuk dosa.
Hadis ini sebenarnya juga tidak bermaksud, apabila kita melakukan perkara-perkara di atas, menandakan kita sudah terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab bersedekah.
Gembira
Apa yang Rasulullah ingin tegaskan di sini, hanya sebagai satu berita gembira kepada orang yang tidak berkemampuan melakukan sedekah kebendaan.
Pun begitu, makna sedekah yang sebenar-benarnya mengikut takrif ajaran Islam, ialah dalam bentuk harta, duit, aset dan sebagainya.
Mengapakah sedekah ini perlu dalam bentuk harta? Ini kerana kalau sebut sahaja harta, duit, barangan atau aset, pastinya ia adalah sesuatu yang amat berharga dan amat disayangi. Berbeza kalau kita kita bersedekah dengan tenaga. Ia diumpamakan seperti tidak ada sebarang makna atau nilai.
Selain itu, perkataan sedekah jika bersandarkan kepada al-Quran dan hadis, sebenarnya ia dalam bentuk harta. Ini ditekankan lagi, apabila Nabi s.a.w. membuat contoh, bersedekahlah kamu walaupun dengan separuh daripada tamar.
Nabi menggunakan benda, ini menjelaskan bahawa sedekah dalam konsep Islam ialah harta benda tanpa menafikan sedekah dalam bentuk-bentuk lain.
Segelintir berpendapat, sekiranya sedekah itu sunat, maka pekerjaan ini boleh dibuat ataupun ditinggalkan. Adakah begitu juga kepada amalan bersedekah?
Itu memanglah betul tetapi sebenarnya di dalam hidup kita, kalau boleh kita hendak mencapai darjat yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t.
Hakikatnya, tawaran syurga yang Allah berikan kepada kita itu, terdapat banyak pintu, di antaranya Babus Sadakah iaitu Pintu Sedekah. Jadi mudah-mudahan, jika sedekah ini kita dapat jadikan sebagai satu budaya di dalam kehidupan, insya-Allah kita akan berpeluang masuk melalui pintu ini.
Diseru
Hal ini diperkukuhkan dengan hadis sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Sesiapa yang membelanjakan sepasang kuda, unta atau sebagainya untuk digunakan dalam perjuangan di jalan Allah, maka namanya diseru dari dalam Syurga:
”Wahai hamba Allah! Pintu ini adalah lebih baik. Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli sembahyang (orang yang sempurna sembahyangnya) maka dia diseru dari Bab Solat (pintu sembahyang). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Jihad (orang yang berjuang di jalan Allah), maka dia diseru dari Bab Jihad (pintu jihad). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Sadaqah (orang yang suka bersedekah), maka dia diseru dari Bab Sadaqah (pintu sedekah) dan sesiapa yang tergolong dari golongan orang yang suka berpuasa, maka dia akan diseru dari Bab Ar-Rayyan (pintu Ar-Rayyan).”
Abu Bakar As-Siddiq bertanya: ”Wahai Rasulullah! Adakah setiap orang semestinya akan diseru dari pintu-pintu tersebut. Adakah tidak mungkin seseorang itu diseru dari kesemua pintu? Rasulullah s.a.w. bersabda: Benar! Aku berharap bahawa engkau termasuk di antara orang yang namanya diseru dari semua pintu. (Riwayat Muslim)
Keutamaan bersedekah adalah lebih digalakkan pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain. Apakah keistimewaannya bersedekah pada bulan ini?
Rasulullah s.a.w. ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah bentuk sedekah yang paling afdal?” Jawab Baginda: Kamu bersedekah dalam bulan Ramadan. (Riwayat Muslim)
Bulan Ramadan ini banyak keistimewaannya; Pertama, ia adalah nas, Rasulullah bersabda: Kelebihan orang yang bersedekah dalam bulan Ramadan ini, ia umpama satu akademik untuk melatih.
Apatah lagi, tujuan yang paling besar daripada ibadah Ramadan ini sebagaimana yang ditegaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
Jadi, di antara bentuk bukti ketakwaan itu ialah sekiranya berharta, maka diinfakkan atau disedekahkan.
Amalan
Kedua, amalan sunat sepanjang sebulan pada bulan Ramadan ini, diletakkan oleh Allah seolah-olah dia melakukan perkara-perkara wajib. Pahala itu memang berbeza. Manakala, perkara wajib pula, digandakan sebanyak 70 kali.
Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis bermaksud: Menunaikan perkara-perkara sunat dalam bulan Ramadan dikira melakukan perkara fardu di bulan yang lain. Manakala, melaksanakan satu kefarduan sepanjang bulan ini, adalah seolah-olah melakukan 70 kefarduan pada bulan lain.
Selain itu, Ramadan seringkali juga dikaitkan dengan pekerjaan-pekerjaan untuk menolong dan meringankan bebanan orang susah. Tambahan pula Baginda menggelarkan bulan Ramadan sebagai `shahrul musawah’ atau bulan prihatin.
Di samping itu, sabda Rasulullah: Kalau manusia tahu kelebihan Ramadan, nescaya mereka mahu setiap tahun itu Ramadan.
Di dalam hadis lain pula diterangkan, daripada Jabir, katanya, “Apabila akhir malam Ramadan, maka menangis langit dan bumi, dan malaikat kerana musibah yang menimpa umat Muhamad.” Lalu para sahabat bertanya, Apakah musibah itu?” Kata Nabi s.a.w. “Kerana perginya Ramadan. Doa di dalam bulan Ramadan adalah mustajab, sedekah diterima, kebaikan digandakan dan azab pula ditolak.
Kategori penerima yang bagaimanakah layak menerima pemberian sedekah serta apakah aspek yang menjadi keutamaan dalam amalan ini?
Dalam hal ini sedekah yang paling perlu kita berikan ialah kepada kaum kerabat kita. Mengapa Nabi sebutkan begitu? Menurut Baginda, apabila kita memberi kepada kaum kerabat, kita akan memperoleh dua pahala, iaitu pahala menghubungkan silaturahim dan kedua, pahala sedekah itu sendiri.
Juga ditegaskan di sini, supaya kita tidak sekadar melihat orang jauh tetapi melihat mereka yang rapat dengan kita, seperti ibu bapa, adik-beradik, bapa atau emak saudara, sepupu. Ini juga tidak bermaksud kita tidak perlu membantu orang jauh tetapi janganlah sehingga meminggirkan orang yang terdekat dengan kita.
Saranan
Bayangkan sekiranya semua umat Islam melakukan seperti saranan Rasulullah, insya-Allah tidaklah kesusahan yang wujud membawa kepada kehidupan yang melarat sehingga tidak cukup makan dan minum atau perkara-perkara asas di dalam kehidupan.
Di samping itu, mereka yang bersedekah ini, Allah s.w.t. janjikan kepadanya syurga dan merupakan pendinding daripada api neraka, dan amalan ini juga dapat menjinakkan hati kita sekali gus membuang sifat kesombongan yang wujud di dalam diri.
Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud: Sesiapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma, maka hendaklah dia lakukan. (Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain daripada Anas, Baginda bersabda bermaksud: Bersedekahlah kamu, sesungguhnya bersedekah itu melepaskan kamu daripada Jahanam.
Begitulah betapa besarnya kelebihan yang akan diperoleh oleh mereka yang bersedekah. Selain itu, bersedekah juga dianjurkan kepada orang lain, sama ada individu atau kumpulan, institusi yang memberikan kita pendidikan serta tidak ketinggalan institusi kebajikan yang sentiasa memerlukan bantuan dan sumbangan para dermawan.
Anjuran bersedekah ini juga digalakkan kepada golongan orang miskin, cuma yang betul-betul Nabi tekankan ialah jangan mengabaikan mereka yang dekat dengan kita, terutamanya anak yatim.
Ia berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Balad ayat 15 bermaksud: (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat.
Ada hadis yang menyuruh kita bersedekah dengan benda-benda yang elok tetapi yang banyak berlaku sekarang, orang bersedekah dengan benda-benda yang sudah tidak diperlukan lagi?
Seelok-eloknya, apabila kita hendak bersedekah, hendaklah kita memberi benda yang terbaik. Firman Allah bermaksud: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu manafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui. (Ali Imran: 92)
Mendidik
Ini menjelaskan bahawa al-Quran mendidik manusia supaya menyumbang atau bersedekah dengan apa yang kita sayang untuk mencapai darjat kebaikan. Maka apabila kita bersedekah dengan benda yang tidak kita sayangi atau tidak diperlukan lagi, ia sudah bercanggah dengan kehendak dan suruhan Allah kepada kita untuk bersedekah.
Tidak dinafikan juga ada orang yang bersedekah dengan alasan jika tidak diberikan, ia tetap akan dibuang atau menjadi sampah, jadi satu cara ialah dengan bersedekah dan itulah yang berlaku semasa bencana tsunami melanda beberapa buah negara di Asia Tenggara, apabila mereka menerima pakaian yang sewajarnya dilupuskan.
Di sinilah terletaknya sikap kita yang tidak prihatin dan mengambil peluang di atas nama sedekah itu untuk berbuat sebegitu. Hakikatnya, orang Islam atau saudara sesama Islam ini, mereka mempunyai harga diri. Sudahlah dia berada di dalam keadaan susah, kemudian melihat pula bantuan yang tidak seberapa, ia bukannya dianggap sebagai pertolongan kepada mereka, malah satu bentuk hinaan. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku.
Bagaimana pula halnya mereka yang memberitahu kekurangan barang tersebut sebelum mensedekahkannya dan menyuruh penerima tersebut membuangnya jika mereka tidak menyukainya?

Benda yang hendak disedekahkan itu, mestilah benda yang baik dan boleh dipakai. Sekiranya ia tidak menepati ciri-ciri ini, maka tidak boleh atau tidak sesuai atau tidak menepati ciri barangan untuk dijadikan sedekah.

Ia bersesuaian dengan sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.. Seorang sahabat meninggal dunia, jadi lelaki tersebut menyebut beberapa perkara sebelum kematiannya.
Di antara tiga perkara yang disebut ialah pertama, Alangkah baik kalau banyak. Kedua, alangkah baik kalau baru dan ketiga, alangkah baik kalau semua sekali.
Maksud daripada ‘alangkah baik kalau banyak’ ialah, pada suatu hari dia memimpin seorang buta ke masjid. Kemudian apabila sampai ke masjid dipastikan semua urusan si buta itu tadi selesai. Sebelum kematiannya, dia nampak pahala daripada bantuannya. Sebab itulah perasaan terkilannya diluahkan dengan kata-kata tersebut.
Sementara luahan ‘alangkah baik kalau baru’ pula dikaitkan dengan bantuannya memberikan baju sejuk yang lama kepada seorang sahabat sewaktu menuju ke masjid. Sedangkan baju yang baru, ia pakai.
Begitu juga dengan kekesalan yang ketiga, iaitu sewaktu rumahnya didatangi oleh seorang miskin yang meminta makanan. Kebetulan di rumahnya ada sekeping roti, jadi diberikan separuh daripadanya sahaja. Pemberian separuh itulah menimbulkan penyesalannya kerana tidak diberikan kesemua roti itu.
Itulah yang dikatakan nilai kebaikan atau nilai sedekah yang perlu manusia buat di dalam kehidupan.
Adakah kisah-kisah yang boleh dikongsikan dengan pembaca mengenai sejarah Nabi bersedekah pada bulan puasa?
Tidak ada disebut secara tepat, cuma dibayangkan pada bulan puasa ini ialah sifat pemurah Baginda sebagaimana diceritakan oleh Aisyah: “Seperti angin yang bertiupan.” Buktinya sehinggakan Baginda tidak meninggalkan sebarang harta selepas pemergiannya.
Sekarang ini, sikap prihatin, sedih dan insaf tidak cukup. Selain itu, seseorang mestilah bertindak mengambil sesuatu langkah yang diperlukan. Barulah ada maknanya rasa kasihan dan sedih.
Rasulullah s.a.w. ada menyebut mengenai suruhan dan galakan bersedekah, sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya:
Mana-mana orang mukmin yang memberi makanan kepada seorang mukmin yang lain kerana kelaparan, maka Allah akan memberi makanan kepadanya pada Hari Kiamat daripada buah-buahan Syurga. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi minuman kepada seorang mukmin yang lain kerana kehausan, maka Allah akan memberi minuman kepadanya pada Hari Kiamat daripada tamar Syurga yang termetri bekasnya.
Dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin yang lain kerana tidak berpakaian, maka Allah akan memberi pakaian kepadanya daripada pakaian Syurga yang berwarna hijau. (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud). Sila huraikan maksud hadis ini?
Di dalam konteks hadis Ibnu Khuzaimah, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang memberi orang berpuasa, makanan untuk berbuka puasa. Istilah `sha-iman’ iaitu orang berpuasa, ia umum tidak mengira orang yang kaya ataupun miskin.
Cuma sekiranya, kita pasti ada orang yang susah dan ada orang yang kaya, tentulah kita memberi kepada orang susah dan itu adalah lebih afdal.
Pun begitu, kalau diambil konteks hadis di atas ialah umum, maka makanan tersebut boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang berpuasa tidak kira apa taraf hidup mereka.
Bagaimanakah amalan bersedekah ini boleh kita jadikan satu bentuk kebiasaan atau menjadi budaya dan tidak hanya popular atau semarak pada bulan Ramadan?
Bulan Ramadan orang mengejar kepada ganjaran pahalanya yang berlipat kali ganda tetapi sebenarnya, kehidupan kita ini bukan hanya di dalam satu bulan ini sahaja.
Sepatutnya bulan ini dijadikan satu masa atau tempoh latihan, tarbiah atau pendidikan. Malah ia tidak terbatas kepada sedekah sahaja tetapi amalan-amalan sunat yang lain seperti qiamullail, tadarus al-Quran, berbuat baik dan banyak lagi.
Bagi saya dan menerusi penelitian sendiri, tempoh 30 hari ini, cukup untuk menjadikan bersedekah itu satu budaya kepada kita tetapi dengan syarat, ditanamkan kesungguhan, keazaman dan niat yang ikhlas.
Soal sedekah ini payah dilakukan kerana ia melibatkan satu sumbangan benda yang kita sayangi. Berbeza dengan amalan lain seperti sembahyang, berzikir, bantuan tenaga dan lainnya. Apatah lagi, pulangan daripada sedekah ini tidak nampak dengan mata kasar.
Hakikatnya, apabila kita bersedekah, harta kita bertambah. Inilah janji Allah kepada mereka yang melaksanakannya sejajar dengan hadis Baginda bermaksud: Ya Allah, berikanlah orang yang menginfakkan harta mereka dan bersedekah itu balasannya. Doa ini bukan sahaja daripada orang miskin tetapi doa malaikat itu sendiri.
Bagaimana pula dengan sindiket-sindiket tertentu yang menggunakan penipuan dalam meminta sedekah?
Apabila kita bersedekah, ganjaran pahalanya tetap diperoleh. Pernah berlaku pada zaman Nabi, orang bersedekah kepada penzina, orang kaya dan pencuri. Ramai kalangan sahabat mempersoalkannya. Malah Nabi membenarkannya dengan harapan melalui pemberian sedekah tersebut ia membantu mengubah mereka ke arah yang lebih baik.
Barangkali sedekah ini agak sukar dilakukan kerana syaitan sentiasa membisikkan kepada manusia bahawa dengan bersedekah kamu akan fakir.
Kita mungkin tidak terfikir sehingga ke tahap miskin tetapi `habis duit aku’. Itu sebenarnya bisikan syaitan, sedangkan banyak janji Allah bagi orang yang banyak melakukan sedekah sehingga dengan melakukannya, ia boleh memadamkan kemarahan dan kemurkaan Allah.
Selain itu juga, sedekah juga membina akhlak manusia itu. Ia bukan sekadar bercakap baik tetapi akhlak pun baik, dan ia perlu datang dari hati. Oleh itu, hati ini kita kena pupuk, termasuklah membuangkan rasa cinta pada dunia dengan jalan bersedekah.

Friday, June 8, 2012

Derma Dan Sedekah Demi Meninggikan Syiar Agama

Di dalam al-Quran ada dinyatakan keterangan mengenai orang yang bersedekah, iaitu berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jika kamu lahirkan sedekah maka itulah yang sebaik-baiknya dan jika kamu sembunyikan dan kamu berikan kepada orang fakir maka ianya kebaikan bagi kamu dan ianya boleh menkifaratkan kejahatanmu. Sebenarnya Allah Maha mengetahui segala apa yang kamu kerjakan”. (al-Baqarah: 271)

Dalam ayat di atas, dinyatakan bahawa segala perbelanjaan, sedikit atau banyak,  yang jelas atau tersembunyi, semuanya tidak hilang daripada pengetahuan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Apa-apa yang kamu kerjakan daripada kebaikan itu maka  Allah Maha mengetahui dengan segala-galanya.” (Al-Baqarah: 197)  

Allah s.w.t pasti memberi ganjaran pahala yang setimpal  sama ada yang diketahui orang atau tidak, asalkan amalan itu  dilakukan dengan ikhlas, jujur, dan amanah.

Jadi, apa yang dapat difahami di sini, segala derma itu pasti dihargai Allah s.w.t, sama ada yang nyata,  iaitu derma untuk  kebajikan umum seperti membina jalan raya, jambatan, sekolah dan derma untuk membantu mangsa bencana alam dan lain-lain yang berbentuk umum dan bukan kepentingan perseorangan. Adapun derma yang berbentuk khusus kepada orang perseorangan, maka ianya tidak digalakan secara terbuka kerana ia boleh menyentuh kehormatan peribadi seseorang dan seboleh-bolehnya  hendaklah  dilakukan secara tersembunyi. Sebab itu dalam ayat di atas, Allah menyatakan sekiranya “kamu sembunyi dan kamu berikan kepada para fakir miskin, maka ianya adalah kebaikan untuk kamu dan akan mengkifaratkan kesalahan kamu.”

Dalam masalah ini, para ulama ada menyatakan bahawa derma yang diberikan secara terbuka dan terang-terangan itu lebih baik sekiranya ia adalah sedekah yang wajib seperti zakat peribadi untuk menyatakan syiar agama yang tidak boleh disembunyikan dalam apa keadaan sekalipun dan boleh menolak sebarang tohmahan orang lain. Demikian juga untuk kebajikan umum, untuk menggalakan orang lain berderma sama. Sebab itu ada ulama yang mengatakan ayat ini untuk sedekah sunat yang mana ia boleh dilakukan secara terang-terangan atau sembunyi, manakala yang wajib hendaklah dilakukan secara terbuka kerana ia tidak melibatkan riak, malah untuk meninggikan syiar agama dan untuk menjadi dorongan kepada umat Islam yang lain dalam melakukan kebaikan ke arah pembangunan ummah  dan menjaga kepentingan agamanya.

Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada suasana dan keadaan si penderma itu sendiri dan si penerima itu juga barangkali keberatan menerimanya jika derma itu dilakukan secara terbuka kerana ia boleh menjejaskan maruahnya, demikian juga keadaan penderma itu sendiri perlu dilayaninya dengan sebaik-baiknya, bila masa dia sepatutnya menyembunyikan dermanya dan ada masanya dia perlu mendedahkan untuk mendorong orang ramai melakukan kebaikan tersebut terutama dalam soal-soal kebaikan umum yang mana tidak  sepatutnya disembunyikan sumbangan tersebut meskipun nama penderma itu dirahsiakan. 

Apa yang jelas, merahsiakan derma kepada golongan fakir miskin adalah lebih baik dan sangat diutamakan kerana dapat menutupi keaiban si penerima tersebut daripada pengetahuan orang ramai. Berlainan dengan derma yang disumbangkan kepada kebaikan umum. Mungkin inilah yang dimaksudkan dalam hadis mengenai tujuh kumpulan manusia yang akan mendapat naungan Arasy Allah di akhirat nanti.  Antara lain dinyatakan bahawa mereka yang berderma dan merahsiakan dermanya sehingga apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kirinya.

Ini kerana ia melibatkan soal menjaga hati dan perasaan orang lain yang mana ianya amatlah diambil berat oleh Islam sekalipun urusan kebajikan umum digalakkan untuk ditonjolkan kepada umum. Tetapi, ianya patut dirahsiakan sekiranya boleh menyentuh perasaan orang lain terutama kaum fakir miskin yang mana sesuatu kebaikan itu tidak akan dinilai sekiranya ia boleh menyentuh perasaan orang lain. Sama juga halnya dengan perbuatan mengungkit sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Jangan kamu batalkan sedekah dan derma kau dengan  bangkitan dan menyakiti hati sesiapasetelah melakukan kebaikan itu sendiri.” (al-Baqarah: 264)

Demikian juga cara dan pendekatan yang akan dilakukan dalam melaksanakan kebaikan itu, ianya perlu dilakukan dengan baik, cermat dan hormat. Jangan sampai caranya boleh menyakiti hati atau menyentuh perasaan dan maruah juga kehormatan diri  sehingga ada ulama yang menganggap bahawa menyembunyi segala kebaikan itu lebih baik terutama bagi orang awam yang mudah terpedaya dengan bisikan jahat hatinya sendiri. Tetapi  hal ini perlu dijelaskan ianya bukan untuk semua orang malah keadaannya mengikut suasana dan orang yang melakukan perbuatan itu.

Sebab itu dalam ayat yang lain Allah s.w.t menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:“Adapun dengan nikmat tuhanmu itu hendaklah kamu ceritakan/hebohkan.” (Dhuha:11)

Malah ianya perlu didedahkan kepada orang  ramai dan dilakukan secara  terang-terangan dan terbuka untuk menggalakkan orang ramai melakukan kebaikan yang sama dan pastilah ianya merupakan suatu kebaikan kerana ianya tergolong dalam kerja-kerja dakwah yang boleh menarik orang ramai ke arah mengerjakan kebaikan.

Sebab itu dalam usaha kebaikan ini umat Islam digalakkan  untuk bersaingan antara satu sama lain sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak di benarkan berhasad dengki melainkan pada dua keadaan, pertama; orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan lalu menyebarkan ilmunya dan beramal dengannya, kedua; mereka yang diberikan harta kekayaan dan dapat menunaikan haknya dengan harta tersebut”. (maksud hadis)

Di sini dapat difahami bahawa persaingan amat digalakkan dalam usaha kebaikan, malah setiap orang boleh berbangga, rela dan puas dengan kebaikannya yang mana ianya perlu mensyukuri nikmat tersebut dengan menunaikan segala haknya sehingga boleh menimbulkan saingan di kalangan umat Islam, selaras dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan dan amal kebajikan.” (al-Baqarah: 148)