Tuesday, August 14, 2012

Ramadan, Al-Quran Dan Kita

Ramadan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.

Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)

“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia” (Surah al-Baqarah, 185).

Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad yang menyebut: “…Allah turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran ini.

Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Antaranya, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr: (maksudnya)

“Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr” (ayat 1).

Hadis-hadis Nabi SAW pula banyak yang menjelaskan bahawa Malam al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan. Maka, sepatutnya penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) dalam lingkungan sepuluh yang akhir. Tokoh ilmu al-Quran yang terkenal al-Imam al-Zarqani menyebut dalam karyanya Manahil al-‘Urfan:

“Kemudian di sana ada pendapat yang menyatakan bahawa pemulaan Nuzul al-Quran itu pada 17hb Ramadan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadis sahih”. (1/52, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka.

Penghayatan

Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Firman Allah: (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).

Itulah tujuan penurunan al-Quran. Ia menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini. Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan). Allah menyebut dalam Surah al-Israa: (maksudnya)

“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (ayat 9-10)

Kita semua ada kelemahan, kita juga mungkin tidak berjaya menjadi insan yang melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran tetapi kita sentiasa wajib beriman bahawa jalam hidup ini ialah mengikuti isi kandungan al-Quran, bergerak dan berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dalam melaksanakan isi kandungan al-Quran. Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan. Tidak berpada sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang tersemat.

Jangan juga kita lupa bahawa pada zaman ini akan ada yang menggunakan al-Quran untuk mendapatkan wang ataupun harta dunia dari manusia. Sabda Nabi

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, bertaraf hasan).

Jangan hairan jika kita bertemu dengan mereka yang meminta wang bacaan al-Quran kononnya sebagai bayaran pahala kepada si mati, ataupun membaca al-Quran dengan segala lenggangan lagunya hanya semata-mata untuk mendapatkan wang. Bukan itu tujuan al-Quran diturunkan!

http://drmaza.com/

Wednesday, August 8, 2012

Memaksimumkan 10 Malam Ramadhan Terakhir..

Lailatul Qadr (Malam Qadar) yang dinyatakan di dalam al-Quran sebagai, “lebih baik daripada seribu bulan” (97:3). Apa-apa ibadah yang dilakukan pada malam ini seperti membaca al-Quran, mengingati Allah, dan lain-lain adalah lebih baik daripada beribadah untuk 1000 bulan yang tidak mengandungi malam Qadar.

Rasulullah saw sendiri memaksa dirinya dalam ketaatan dalam sepuluh malam terakhir  berbanding pada bila-bila masa lain. (Muslim). Semoga Allah merahmati Baginda

Aishah (RA) berkata bahawa nabi: Cari Lailatul Qadr pada malam bernombor ganjil pada sepuluh malam terakhir Ramadan (Bukhari).

Nabi berkata: “Sesiapa sembahyang pada malam Qadar dengan iman dan harapan untuk ganjarannya, semua dosa-dosa sebelum ini akan diampuni.” (Bukhari dan Muslim dari Abu Huraira).

1. Luangkan masa untuk Allah.

Kita akan berehat seketika  untuk hampir segala-glaa aktiviti didalam hidup. Kenapa tidak kali ini dengan memberi tumpuan kepada menyembahan dan mengucapkan terima kasih kepada Pencipta kita.

Jika ini tidak dapat dilakukan sekurang-kurangnya kita mengambil sedikit masa jika boleh. Berjaga pada waktu malam untuk melakukan Ibadah tambahan, tidak perlu risau tentang untuk pergi bekerja pada keesokan harinya. Insyallah, ia tidak akan menjejaskan anda!

 2. I’tikaf.

Ia adalah amalan Rasulullah untuk menghabiskan sepuluh hari terakhir dan malam Ramadan dalam masjid untuk I’tikaf.

Orang-orang di I’tikaf tinggal di masjid sepanjang masa ini, melaksanakan pelbagai bentuk berzikir (mengingati Allah), seperti melakukan solat tambahan, bacaan dan memahami al-Quran. I’tikaf dalam tempoh masa yang lebih pendek, seperti satu malam, sehari atau beberapa hari adalah digalakkan juga.

3. Amalkan Doa khas ini.

Aishah, ra dengan dia, berkata: Aku pernah bertanya Rasulullah saw: ‘Wahai Rasulullah, jika aku tahu bila malam adalah malam Qadar, apakah yang perlu aku katakan semasa doa?’ Baginda berkata: “Katakanlah: Wahai Allah, Engkau adalah Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkan aku. “(Ahmad, Ibn Majah, dan Tirmidzi).

4. Merenung makna al-Quran.

Pilih surah terkini atau surah yang anda pernah mendengar dalam Tarawih dan membaca terjemahan dan Tafsir mereka. Kemudian berfikir secara mendalam tentang makna dan bagaimana ia memberi kesan kepada anda.

5. Berdoa dosa dihapuskan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) berkata: Sesiapa yang berdiri (mengerjakan sembahyang) pada malam Lailatul Qadar, mengharapkan pahala dari sisi Allah,  semua dosanya yang telah lalu akan diampuni. [Bukhari dan Muslim).

Cuba untuk membuat doa anda lebih panjang, lebih mendalam dan bermakna. Jika anda sudah biasa dengan surah yang   panjang, baca terjemahan dan penjelasan. Hayati makna semasa anda berdoa. Jika anda hanya biasa dengan surah yang lebih pendek, baca terjemahan dan penjelasan terlebih dahulu, dan kemudian berdoa dan hayati mesej daripada surah.

Ini adalah cara yang baik untuk meningkatkan tumpuan, walaupun dalam sembahyang, di mana ramai daripada kita cenderung untuk menjadi lalai dan / atau mudah terganggu.

 6. Buat satu senarai Doa peribadi.

Tanya diri kita apa yang kita benar-benar mahu dari Allah. Buat senarai setiap dan segala-galanya, tidak kira betapa kecil atau berapa besar, sama ada ia berkaitan dengan dunia ini atau tidak. Allah suka mendengar doa dan permintaan daripada kita

7. Amalkan Doa Panjang, Ikhlas dan Mendalam

Salah satu masa terbaik untuk melakukan ini ialah pada bahagian terakhir malam.

Abu Huraira ra, berkata bahawa nabi bersabda: Apabila berakhir satu pertiga malam, Allah, Yang Amat Terpuji turun ke langit bumi dan berfirman: Siapakah yang berdoa untuk Ku? Siapa yang berdoa untuk ku memohon apa-apa akan ku perkenankan. Dan yang yang memohon keampunan kepada-Ku, Aku akan memaafkannya. (Bukhari, Muslim).

Bangun satu jam sebelum masa sahur untuk meminta kepada Allah untuk apa-apa dan semua yang kita mahu. Ini boleh dilakukan dengan  doa dalam bahasa kita sendiri, dengan ikhlas dan keyakinan.

8. Berbuka dengan keluarga

Jika anda selalu menghabiskan masa berbuka pada hari-hari bekerja di dalam pejabat anda di tempat kerja, kini beberapa hari terakhir Ramadan ini habiskanlah masa berbuka dengan keluarga anda.

Tips tersebut adalah sebahagian kecil daripada apa yang boleh dilakukan. Tentukan bagaimana  malam anda, yang lebih baik daripada seribu bulan, yang akan digunakan. Ini akan membantu anda mengelakkan daripada membuang masa pada Malam Lailatul-Qadar iaitu dalam 10 hari terakhir.. Semoga kita dapat bertemu dan meraih sebanyak mungkin pahala pada Ramadhan kali ini..

dari: http://akuislam.com/blog/renungan/memaksimumkan.

Monday, August 6, 2012

Nuzul al- Quran Dan Lailatul Qadar

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

 Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

 Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1.  Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2.  Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena   dan Tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

 Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap

Kesimpulan    

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. 


http://www.islam.gov.my/nuzul-al-quran-dan-lailatul-qadar