Friday, June 8, 2012

Derma Dan Sedekah Demi Meninggikan Syiar Agama

Di dalam al-Quran ada dinyatakan keterangan mengenai orang yang bersedekah, iaitu berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jika kamu lahirkan sedekah maka itulah yang sebaik-baiknya dan jika kamu sembunyikan dan kamu berikan kepada orang fakir maka ianya kebaikan bagi kamu dan ianya boleh menkifaratkan kejahatanmu. Sebenarnya Allah Maha mengetahui segala apa yang kamu kerjakan”. (al-Baqarah: 271)

Dalam ayat di atas, dinyatakan bahawa segala perbelanjaan, sedikit atau banyak,  yang jelas atau tersembunyi, semuanya tidak hilang daripada pengetahuan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Apa-apa yang kamu kerjakan daripada kebaikan itu maka  Allah Maha mengetahui dengan segala-galanya.” (Al-Baqarah: 197)  

Allah s.w.t pasti memberi ganjaran pahala yang setimpal  sama ada yang diketahui orang atau tidak, asalkan amalan itu  dilakukan dengan ikhlas, jujur, dan amanah.

Jadi, apa yang dapat difahami di sini, segala derma itu pasti dihargai Allah s.w.t, sama ada yang nyata,  iaitu derma untuk  kebajikan umum seperti membina jalan raya, jambatan, sekolah dan derma untuk membantu mangsa bencana alam dan lain-lain yang berbentuk umum dan bukan kepentingan perseorangan. Adapun derma yang berbentuk khusus kepada orang perseorangan, maka ianya tidak digalakan secara terbuka kerana ia boleh menyentuh kehormatan peribadi seseorang dan seboleh-bolehnya  hendaklah  dilakukan secara tersembunyi. Sebab itu dalam ayat di atas, Allah menyatakan sekiranya “kamu sembunyi dan kamu berikan kepada para fakir miskin, maka ianya adalah kebaikan untuk kamu dan akan mengkifaratkan kesalahan kamu.”

Dalam masalah ini, para ulama ada menyatakan bahawa derma yang diberikan secara terbuka dan terang-terangan itu lebih baik sekiranya ia adalah sedekah yang wajib seperti zakat peribadi untuk menyatakan syiar agama yang tidak boleh disembunyikan dalam apa keadaan sekalipun dan boleh menolak sebarang tohmahan orang lain. Demikian juga untuk kebajikan umum, untuk menggalakan orang lain berderma sama. Sebab itu ada ulama yang mengatakan ayat ini untuk sedekah sunat yang mana ia boleh dilakukan secara terang-terangan atau sembunyi, manakala yang wajib hendaklah dilakukan secara terbuka kerana ia tidak melibatkan riak, malah untuk meninggikan syiar agama dan untuk menjadi dorongan kepada umat Islam yang lain dalam melakukan kebaikan ke arah pembangunan ummah  dan menjaga kepentingan agamanya.

Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada suasana dan keadaan si penderma itu sendiri dan si penerima itu juga barangkali keberatan menerimanya jika derma itu dilakukan secara terbuka kerana ia boleh menjejaskan maruahnya, demikian juga keadaan penderma itu sendiri perlu dilayaninya dengan sebaik-baiknya, bila masa dia sepatutnya menyembunyikan dermanya dan ada masanya dia perlu mendedahkan untuk mendorong orang ramai melakukan kebaikan tersebut terutama dalam soal-soal kebaikan umum yang mana tidak  sepatutnya disembunyikan sumbangan tersebut meskipun nama penderma itu dirahsiakan. 

Apa yang jelas, merahsiakan derma kepada golongan fakir miskin adalah lebih baik dan sangat diutamakan kerana dapat menutupi keaiban si penerima tersebut daripada pengetahuan orang ramai. Berlainan dengan derma yang disumbangkan kepada kebaikan umum. Mungkin inilah yang dimaksudkan dalam hadis mengenai tujuh kumpulan manusia yang akan mendapat naungan Arasy Allah di akhirat nanti.  Antara lain dinyatakan bahawa mereka yang berderma dan merahsiakan dermanya sehingga apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kirinya.

Ini kerana ia melibatkan soal menjaga hati dan perasaan orang lain yang mana ianya amatlah diambil berat oleh Islam sekalipun urusan kebajikan umum digalakkan untuk ditonjolkan kepada umum. Tetapi, ianya patut dirahsiakan sekiranya boleh menyentuh perasaan orang lain terutama kaum fakir miskin yang mana sesuatu kebaikan itu tidak akan dinilai sekiranya ia boleh menyentuh perasaan orang lain. Sama juga halnya dengan perbuatan mengungkit sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Jangan kamu batalkan sedekah dan derma kau dengan  bangkitan dan menyakiti hati sesiapasetelah melakukan kebaikan itu sendiri.” (al-Baqarah: 264)

Demikian juga cara dan pendekatan yang akan dilakukan dalam melaksanakan kebaikan itu, ianya perlu dilakukan dengan baik, cermat dan hormat. Jangan sampai caranya boleh menyakiti hati atau menyentuh perasaan dan maruah juga kehormatan diri  sehingga ada ulama yang menganggap bahawa menyembunyi segala kebaikan itu lebih baik terutama bagi orang awam yang mudah terpedaya dengan bisikan jahat hatinya sendiri. Tetapi  hal ini perlu dijelaskan ianya bukan untuk semua orang malah keadaannya mengikut suasana dan orang yang melakukan perbuatan itu.

Sebab itu dalam ayat yang lain Allah s.w.t menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:“Adapun dengan nikmat tuhanmu itu hendaklah kamu ceritakan/hebohkan.” (Dhuha:11)

Malah ianya perlu didedahkan kepada orang  ramai dan dilakukan secara  terang-terangan dan terbuka untuk menggalakkan orang ramai melakukan kebaikan yang sama dan pastilah ianya merupakan suatu kebaikan kerana ianya tergolong dalam kerja-kerja dakwah yang boleh menarik orang ramai ke arah mengerjakan kebaikan.

Sebab itu dalam usaha kebaikan ini umat Islam digalakkan  untuk bersaingan antara satu sama lain sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak di benarkan berhasad dengki melainkan pada dua keadaan, pertama; orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan lalu menyebarkan ilmunya dan beramal dengannya, kedua; mereka yang diberikan harta kekayaan dan dapat menunaikan haknya dengan harta tersebut”. (maksud hadis)

Di sini dapat difahami bahawa persaingan amat digalakkan dalam usaha kebaikan, malah setiap orang boleh berbangga, rela dan puas dengan kebaikannya yang mana ianya perlu mensyukuri nikmat tersebut dengan menunaikan segala haknya sehingga boleh menimbulkan saingan di kalangan umat Islam, selaras dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan dan amal kebajikan.” (al-Baqarah: 148)

No comments:

Post a Comment