Thursday, July 5, 2012

Peristiwa Besar Di Bulan Syaaban

Bulan Syaaban adalah bulan mulia iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab padanya Nabi Muhammad s.a.w. melakukan Isra’ dan Mikraj dan bulan Ramadhan dimana padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadhan dan Lailatul Qadar. Sesungguhnya orang yang mensucikan badannya pada bulan Rejab maka ia akan mensucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang mensucikan hatinya pada bulan Syaaban akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadhan.
Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan dari segala dosa dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati dari segala cacat dan bulan Ramadhan pula untuk memberi penerangan hati sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
1. PERTUKARAN ARAH KIBLAT
Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara’ bin Azib maksudnya: “Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.
Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.
Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.
2. PERANG ZAT AL-RIQA’
Dalam pertempuran ini seramai 400 tentera Islam terdiri daripada berkuda dan berjalan kaki telah menghadapi kekuatan musuh daripada Banu Muharib dan Banu Tha’labah daripada Ghatfan di satu tempat di Najd bernama Zat al-Riqa’. Perang ini berlaku pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah. Perang ini berakhir dengan kemenangan di pihak Islam apabila kedua-dua kabilah musuh telah melarikan diri.
3. PERANG BANU AL-MUSTALAQ DARIPADA KHUZA’AH
Seramai 1, 000 tentera Islam telah bertembung dengan Banu al-Mustalaq di satu tempat bernama al-Mari’ pada bulan Syaaban tahun ke-5 Hijrah. Pihak musuh telah melarikan diri selepas berlaku peperangan yang pendek.
4. MALAM NISFU SYAABAN
Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)
Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:
“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”

Wednesday, July 4, 2012

Syukur, Muhasabah Diri Tanda Taqwa

Sebagai manusia kita seharusnya bersyukur kerana Allah telah menciptakan kita sebagai sebaik-baik makhluk dan ciptaan. Manusia diciptakan berakal, berperasaan dan mempunyai fitrah semulajadi yang tidak semua dikurniakan kepada makhluk-makhluk Allah yang lain. Seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin: Ayat 4).

Justeru, kita seharusnya merafakkan tanda syukur kita kepada Tuhan dengan cara menjadikan diri kita sesempurna insan. Dalam erti kata lain, mencontohi nabi kita Muhammad SAW yang mana baginda merupakan uswatun hasanatunatau contoh ikutan terbaik untuk umat manusia sepanjang zaman.

Hal ini kerana peribadi dan akhlak baginda Rasulullah begitu mulia dan terpuji semulia nama baginda. Baginda telah menunjukkan sifat dan peribadi yang begitu agung, di mana sekali pun baginda SAW tidak menzahirkan kemarahan atau kebencian bila mana baginda dihina, dicaci, dicerca dengan begitu hebat sekali semasa zaman baginda, bahkan segala keburukan yang dilemparkan ke atas baginda dibalas dengan baik, sabar, malah mendoakan kebaikan kepada musuh-musuh baginda.

Lantaran itu, asbab kemuliaan sifat yang diperlihatkan Nabi Muhammad itulah yang telah menyedari seterusnya mengubah persepsi musuh-musuh baginda dan secara tidak langsung menyebabkan keislaman majoriti daripada mereka. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa hebatnya peribadi dan akhlak nabi tercinta kita, Muhammad SAW. Di mana kan kita cari ganti serupa dengan baginda bukan?

Namun demikian, hidup di dunia akhir zaman ini begitu banyak ranjaunya. Antara manusia masing-masing berlumba-lumba mengejar kenikmatan hidup dan habuan duniawi. Sehingga kadang-kadaang terlupa bahawa segala kesenangan di dunia hanya bersifat sementara dan segalanya akan dipulangkan kembali kepada pemilik asal yang hakiki iaitu Allah SWT.

Dengan keadaan sedimikian, tidak hairanlah jika ramai manusia yang saling berdengkian antara satu sama lain. Hanya kerana tidak sanggup jika nikmat yang dimiliki orang lain melebihi diri sendiri, kehendak nafsu diturutkan. Misalnya, peniaga yang dengki dengan kejayaan yang diperoleh pesaingnya sanggup mengenakan sihir semata-mata untuk menghilangkan nikmat yang dikecap oleh orang lain, di samping ingin menjadi masyhur dan cepat kaya tanpa ada tandingan.

Hal ini jelas terbukti apabila media massa saban hari melaporkan kes-kes jenayah yang berlaku bahana daripada perbuatan dengki khianat. Masyarakat juga sering didedahkan dengan amalan-amalan khurafat seperti sihir, ilmu hitam dan magis yang mana digunakan oleh dukun, pawangmahupun bomoh seperti yang dipertontonkan melalui kebanyakan rancangan televisyen terutama filem dan drama Melayu.

Ekoran dengan itu, perbuatan itu secara tidak langsung menggalakkan masyarakat untuk mencuba sesuatu yang boleh dianggap luar biasa bagi mereka. Apa tidaknya, jika sering didedahkan dengan informasi negatif, tidak mustahil jika inkuiri seseorangyang pada mulanya hanya tertarik dan kagum bertukar menjadi kehendak untuk mencuba, lalu membenamkan kewarasan akal serta iman di dada.

Fitrah manusia adalah cintakan dan suka melakukan kebaikan. Walau bagaimanapun, disebabkan iman yang tipis mereka tewas dan cenderung untuk melakukan kejahatan dan keburukan. Hanya kerana? terpedaya dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan. Oleh itu tidak hairanlah jika dikatakan orang yang jahat sekalipun masih inginkan layanan yang baik diberikan kepada mereka.

Dan kerana itu jugalah wujudnya manusia yang tidak beriman kepada Allah tetapi masih membuat kebaikan. Hal ini disebabkan seseorang itu berfitrah dengan fitrah hasanah atau kebaikan. Banyak contoh yang dapat kita lihat, antaranya melihat kepada negara yang mendapat jolokan negara paling bersih iaitu Switzerland.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa Switzerland bukanlah sebuah negara Islam, namun mengamalkan aspek kehidupan yang amat dituntut dalam Islam iaitu bersih. Malah Islam itu sendiri adalah agama yang suci dan bersih. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.” (Hadis Riwayat: Ibnu Hibban).

Manakala sabda baginda lagi yang bermaksud: “Kebersihan itu dapat mengajak orang kepada iman. Sedang iman itu akan bersama pemiliknya ke syurga.” (Hadis Riwayat: Thabrani). Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya kebersihan dan Islam itu agama yang mengajak kepada kebersihan.

Namun demikian jika dilihat dari sudut yang berbeza, manusia juga cenderung untuk melihat keburukan orang mengatasi kebaikan yang dilakukan. Jika dilihat dan dinilai pada keburukan dan kesilapan, semua orang tidak terlepas dari melakukannya. Sedangkan para nabi juga melakukan kesilapan, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang lebih banyak terdedah pada dosa.

Sekiranya penilaian manusia terhadap manusia yang lain berdasarkan kesalahan yang dilakukan, apa akan berlaku jika seseorang pendakwah turut melakukan perkara yang sama. Benar, semua orang tidak terlepas dari melakukan dosa. Namun, jika manusia menghukum sedemikian terhadap perdakwah misalnya, sudah semestinya sebagai manusiabiasa yang lemah, berat untuk mengikut apa yang disampaikan oleh mereka. Kerana hati kecil pasti berkata, tiada guna mengikut orang yang mengajak kebaikan sedangkan diri sendiri juga tidak sempurna, turut melakukan dosa seperti orang lain.

Kerana itulah perlunya kita meneliti apa yang dimaksudkan dengan kata-kata Saidina Ali r.a iaitu “Janganlah melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan.” Di samping itu, perlulah juga kita ketahui bahawa dua perkara yang perlu kita ingat iaitu keburukan kita terhadap orang lain, dan kebaikan orang terhadap kita. Begitu juga dua perkara yang perlu kita lupakan iaitu kebaikan kita terhadap orang dan keburukan orang tehadap kita.

Dengan itu, secara tidak langsung kita dapat perbaiki diri kita menjadi insan yang lebih baik. Justeru,jadilah orang yang beruntung di mana hari ini lebih baik darisemalam. Hal ini selari dengan maksud hadis Rasulullah iaitu “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim)

Lantaran itu, janganlah sentiasa melihat keburukan yang ada pada orang lain, sebaliknya selalu bermuhasabah dan melihat pada diri sendiri. Banyak mana dosa dan kebaikan yang diperbuat saban hari. Lihat kembali ke dalam diri, apa yang masih kurang. Kebaikan apa yang masih belum mencukupi. Tambah nilai segala kekurangan diri dan dosa-dosa yang pernah dilakukan dengan cara selalu mengingati mati, di samping dapat meningkatkan iman dan menggalakkan melakukan kebaikan.

Tambahan pula, tiada kebaikan yang diperoleh jika masa yang dihabiskan hanya dengan melihat keburukan dan aib orang lain tanpa berbalik kepada diri sendiri. Bahkan mendapat kemurkaan Allah dan juga menutup ruang untuk perbaiki diri sendiri.

Hal ini turut disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah al-Hujurat: Ayat 12).

Justeru marilah sama-sama kita bermuhasabah dengan merenung jauh-jauh ke dalam diri. Tambahkan amal jika berasakan masih kekurangan amal untuk dijadikan bekalan dikemudian hari. Juga berfikirlah sambil menghisab diri sendiri, kerana sesungguhnya berfikir sejenak itu lebih baik daripada beramal sepanjang malam.

Tuntasnya, sebagai hamba Allah yang bertaqwa, kita seharusnya sering bersangka baik terhadapNya walau apa pun ujian yang datang melanda. Kerana Allah adalah menurut sangkaan hambaNya terhadapNya.


Asmaa' Syahirah As'ari - Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.


Monday, June 25, 2012

Kelebihan Bulan Rejab

BULAN REJAB MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Pengenalan
1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -
(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.
(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.
(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.
(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.

2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.

3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

Bulan Rejab Menurut Al-Quran

Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”
(Al-Baqarah: 194)

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …”
(At-Taubah: 36)

Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.

Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)

(2) Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.

Bulan Rejab Menurut As-Sunnah

Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.

Perselisihan Pendapat Mengenai Hadis-Hadis Berkaitan Kelebihan Bulan Rejab

Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang diklasifikasikan sebagai dha’if, sangat dha’if dan maudhu’ (palsu). Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.

(Hadis ini dikatakan mun’kar bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)

“Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”.

(Hadis ini juga dhai’f)

“Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)

Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha’if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya. Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah, beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak patut hanya disebabkan hadis itu dha’if, maka ia perlu diketepikan dan ditolak mentah-mentah. Hadis dha’if adalah tetap hadis dan ia bukannya maudhu’. Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu dha’if atau maudhu’ pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha’if tidaklah sampai menjejaskan hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam hadis yang dianggap dha’if ialah besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit. Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.

Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.

Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah.

Wallah hu’alam bissawab.