Wednesday, July 20, 2011

Doa Dalam Sujud

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW; "Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya." Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.

"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal , imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat. Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya.

Rasulullah SAW biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud. Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalamsabdanya yang bermaksud;

"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat." Mendengar itu para sahabat bertanya; "Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?

" Jawab baginda; "Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakahengkau tidak dapat mengenalinya?" Sahabat menjawab; "Dapat!"
Rasulullah menyambung; "Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka (terutama anggota wudu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu'."

Keistimewaannya

Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud."

Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.

Wallahualam bissawab.

Thursday, June 23, 2011

Solat Tanda Bersyukur



SURAH ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Abbas dan jumhur ulama. Sedangkan pendapat al-Hasan, Ikrimah dan Qatadah pula bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyyah. Ia mengandungi tiga ayat dan diturunkan selepas surah al-'Adiyat.

Hubungan dengan surah al-Ma'un


Dalam surah al-Ma'un disebutkan golongan yang mendustakan agama dengan empat sifat iaitu kikir, tidak mengerjakan sembahyang, riak dan menolak memberi pertolongan.

Dalam surah ini Allah SWT menyebut anugerah kepada Rasulullah SAW dalam bentuk kebajikan dan keberkatan. Kemudian dinyatakan bahawa Dia menganugerahkan al-Kauthar kepada Nabi yang bererti kebajikan yang banyak, memelihara sembahyang, sentiasa mengerjakannya secara ikhlas dan bersedekah kepada orang fakir.

Sebab turunnya surah ini

Orang musyrik Mekah dan orang munafik Madinah mencela dan mengejek Nabi perkara berikut:

Hanya golongan yang lemah sahaja menjadi pengikut baginda dan tidak terdapat pun para pemimpin serta pembesar yang mengikut baginda.

Jika agama yang dibawa itu benar pasti para pembelanya terdiri daripada golongan fakir yang mempunyai kedudukan mulia dalam masyarakatnya. Ucapan mereka itu bukanlah perkara baru kerana hal ini juga berlaku ke atas kaum Nabi Nuh a.s yang berkata kepadanya (lihat surah Hud ayat 27).

Sudah menjadi sunnah Allah kepada makhluk-Nya, pada kebiasaannya mereka mudah menerima ajakan rasul kerana mereka tidak memiliki harta yang dibimbangkan musnah untuk kepentingan ajakan yang baru, tidak memiliki kedudukan dan kekuasaan yang dikhuatiri dimiliki oleh pembawa ajakan baru itu.

Para pemimpin dan pembesar kebiasaannya tidak mahu menerima ajakan itu, sehingga mereka masuk ke dalam agama Allah dalam keadaan yang tidak suka.

Oleh yang demikian, terjadilah perdebatan antara para pemimpin itu dengan Rasulullah. Kemudian mereka mulai lemah kerana dikalahkan dakwaan mereka itu satu demi satu dan Allah menolong para rasul-Nya dengan meneguhkan kedudukan mereka.

Begitulah penduduk Mekah menghadapi Rasulullah. Oleh sebab itu, para pemimpin dan pembesar Mekah pada umumnya tidak menerima orang yang menganut Islam lantaran kedengkian kepada Nabi Muhammad dan golongan yang lemah lagi hina.

Apabila mereka mendapati putera-putera Nabi Muhammad meninggal dunia lantas mereka berkata: "Nama Muhammad telah berakhir, kini keturunan Muhammad sudah terputus." Mereka memandang perkara itu sebagai celaan dan cemuhan serta menjauhkan manusia daripada mengikut Baginda.

Apabila mereka melihat bencana yang menimpa kaum muslimin, maka mereka bergembira, menunggu-nunggu agar kecelakaan itu menimpa kaum muslimin dan kekuasaan mereka hilang sehingga kedudukan mereka yang diporakperandakan oleh agama baru itu tegak kembali.

Oleh sebab itu, surah ini diturunkan untuk menguatkan hati Rasul-Nya bahawa kegoncangan yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin itu adalah suatu dugaan dan ujian untuk membersihkan jiwa orang yang masih belum kuat hatinya.

Ini untuk menolak tipu daya kaum musyrikin di hadapan mereka serta memberitahu kepada mereka bahawa rasul itu pasti memperolehi pertolongan dan para pengikut baginda termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.

Firman Allah: Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata al-Kauthar diambil dari kata kathir."

Ia digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang banyak bilangannya atau tinggi mutunya. Bahkan seorang manusia merupakan tokoh yang banyak berjasa dinamakan Kauthar.

Ulama berbeza pendapat tentang makna tersebut. Pendapat yang popular adalah sungai di syurga. Ia dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Muslim dari sahabat Nabi Anas bin Malik.

Pendapat ini ditolak oleh Sheikh Muhammad Abduh sambil menulis dalam tafsirnya pendapat yang menyatakan al-Kauthar bermaksud sungai di syurga baru diterima sebagai keyakinan apabila riwayatnya mutawatir.

Namun demikian, Sheikh Muhammad Abduh meragukan mutawatir hadis tersebut kerana tulisannya lebih jauh. Kemutawatiran satu riwayat tidak sah kalau hanya pendapat sekelompok orang atau sebahagian ulama.

Kemutawatiran riwayat seperti apa yang anda lihat pada keadaan al-Quran. Ia dikenali dan diakui oleh thabaqat (kelompok atau generasi demi generasi) dan diriwayatkan oleh sejumlah orang yang dipercayai dan mustahil untuk berbohong, seterusnya riwayat itu sampai kepada anda dan tidak ditolak oleh kaum muslimin. Ia dinamakan mutawatir yang dapat menghasilkan keyakinan.

Pendapat kedua tentang al-kauthar banyak disebut ulama tafsir keturunan Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan antara lain oleh Abu Hayyan, al-Alusi sambil menyatakan mereka itu telah memenuhi seluruh penjuru.

Demikian juga Muhammad Abduh, al-Qasimi yang mengambil pendapat Ibn Jinni sambil menyatakan pendapat ini indah dengan sebab nuzul surah ini. Dan maksud keturunannya ialah anak cucu Sayyidah Fatimah puteri Rasulullah.

Dinyatakan di sini beberapa pendapat yang lain sebagaimana dinukilkan daripada kitab Zad al-Masir:

i.Kebaikan yang banyak yang dikurniakan kepada Nabi. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii.Ilmu dan quran sebagaimana pendapat al-Hasan.

iii.Kenabian seperti pendapat Ikrimah.

iv.Kolam Nabi di mana manusia berhimpun padanya pada hari Akhirat. Inilah pendapat Ata'.

v.Ramainya pengikut Nabi dan umatnya, seperti pendapat Abu Bakar bin 'Iyash.

Firman Allah SWT: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.

Berkenaan dengan solat di sini ada tiga pendapat:

i. Solat hari raya haji, seperti pendapat Qatadah.

ii. Solat Subuh di Muzdalifah, sebagaimana pendapat Mujahid.

iii. Solat lima waktu. Inilah pendapat Muqatil.

Berkenaan dengan perintah korban pula ada lima pendapat:

i. Sembelihlah pada hari raya seperti riwayat Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas. Inilah pendapat Ata', Mujahid dan jumhur.

ii. Diletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika solat seperti riwayat Abu al-Jauza'.

iii. Mengangkat kedua tangan dengan bertakbir hingga ke leher seperti pendapat Abu Ja'far Muhammad bin Ali.

iv. Dengan makna solatlah kerana Allah dan korbanlah kerana Allah seperti pendapat al-Qurazi.

v. Hendaklah menghadap kiblat ketika korban sebagaimana dihikayatkan oleh al-Farra'.

Sayid Qutub berkata: "Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintah Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat dengan kewajipannya yang pertama iaitu ikhlas dan tetapkan dalam hati amal ibadah kepada Allah SWT, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kesyirikan kaum Musyrikin."

Firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Ulama khilaf siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini kepada lima pendapat:

i. Al-'As bin Wa'il al-Sahmi, seperti pendapat Ibn Abbas. Ini juga pendapat Said bin Jubair, Mujahid dan Qatadah.

ii. Abu Jahal, sebagaimana pendapat Ibn Abbas.

iii. Abu Lahab, seperti pendapat Ata'.

iv. Uqbah bin Abi Mu'it, sebagaimana pendapat Syamar bin 'Atiah.

v. Himpunan di kalangan orang Quraisy, seperti pendapat Ikrimah.

Al-Maraghi berkata: "Orang yang membenci kamu dalam apa jua keadaan adalah orang yang terputus penyebutannya untuk memperoleh kebaikan dunia dan akhirat."

Sebab utama mereka membenci petunjuk dan hikmah yang diajarkan baginda menampakkan kejahilan fikiran mereka, mencela sembahan mereka, menyeru ajaran yang berbeza dari apa yang telah mereka biasa ikuti.

Al-Hassan berkata: "Orang musyrik menyatakan keadaan Nabi Muhammad SAW itu terputus, maksudnya baginda telah menerima kegagalan, sebelum tujuan baginda tercapai. Akan tetapi Allah SWT menjelaskan bahawa musuh baginda itulah yang mengalami keadaan yang sedemikian."

kredit: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Antara Peristiwa Dalam Bulan Rejab

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan. Ia juga membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan.
Masyarakat jahiliyyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab mereka memuliakan dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Antara peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab ialah :
1. Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) berlaku kerana pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman r.a dan isterinya Ruqayyah anak Rasulullah s.a.w. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.
2. Isra’ dan Mi’raj
Isra’ dan Mi’raj ertinya Rasulullah s.a.w dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah s.w.t untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah s.w.t .
Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama’ mengatakan pada 27 RabiulAkhir, sebahagian  mengatakan pada 17 RabiulAwwal, sebahagian yang lain mengatakan pada  29 Ramadhan,  ada yang mengatakan pada 27 Rejab dan ada juga ulama’ yang mengatakan selain daripada tanggal-tanggal yang telah disebutkan.Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab sekalipun tidak disertai dengan alas an yang kuat. Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama’.
3.Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah s.a.w dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.
4. Pembebasan Baitul-Maqdis
Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan pepecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan keatas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembalioleh panglima Islam terkenal Solahuddin Al-Ayubi. Beliau telah menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H Yahudi pila menawan Baitulmaqdis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
5. Lahirnya Imam As-Syafie r.a
Nama sebenar Imam As-Syafie r.a ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazah, Pelestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie. Diantara peniggalan Imam As-Syafie r.a yang menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab Al-Umm.