Tuesday, January 11, 2011

Tanda - Tanda Jahiliah Dalam Diri


Salah satu tuntutan buat seseorang manusia menjadi seorang Islam atau muslim yang sejati ialah meninggalkan segala nilai-nilai jahiliah. Kerana itu, setiap mukmin dituntut untuk memasuki Islam secara kaffah atau menyeluruh.

Hakikat ini ditandai dengan firman Allah swt. yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Menurut riwayat, ayat itu diturunkan Allah sebab ada sekelompok sahabat yang mulanya beragama Yahudi telah meminta kepada Nabi Muhammad saw agar dibolehkan mereka merayakan atau memuliakan hari Sabtu dan menjalankan ajaran kitab Taurat.

Lantaran itu, turunlah ayat ini yang tidak membolehkan seseorang yang telah mengaku beriman tetapi masih berperilaku sebagaimana perilakunya pada masa jahiliah.

Rasulullah menyebutkan dalam satu hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim, bermaksud: “Empat perkara pada umatku dari perkara jahiliah yang mereka tidak meninggalkannya, iaitu membanggakan darjat keturunan, mencela keturunan, meminta hujan dengan binatang dan meratapi mayat.”

Sesungguhnya, daripada pengertian hadis di atas, dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa daripada sekian banyak tanda, ada empat tanda muslim jahiliah yang disebutkan oleh Rasulullah. Hal ini memang harus kita fahami dengan baik agar model kehidupan jahiliah itu tidak kita jalani.

Sahabat baginda, Saidina Umar Ibn Khattab, pernah menyatakan: “Kalau engkau hendak menghindari jahiliah, kenalilah jahiliah itu.”

Membanggakan Keturunan

Kita harus ingat bahawa kemuliaan dan ketakwaan seseorang itu bukan diukur dengan keturunan secara automatik. Oleh sebab itu, kalau kita ingin membanggakan atau memuliakan seseorang, bukanlah kerana keturunannya tetapi kerana iman dan amal solehnya.

Namun, apa yang boleh kita lihat ini agak berbeza dan sebaliknya. Tidak sedikit orang yang terpilih menjadi pemimpin secara automatik dengan sebab keturunannya.

Contohnya, kalau ayahnya seorang raja, maka anaknya secara automatik akan menjadi raja juga meskipun anak berkenaan belum tentu mampu menjadi raja, bahkan sebenarnya ada orang lain yang lebih layak untuk menjadi raja.

Begitu juga kalau ayahnya seorang ketua dalam sesebuah organisasi. Anaknya juga akan menjadi pemimpin organisasi berkenaan setelah ayahnya meninggal dunia. Selalunya, ini semua disebabkan oleh status ayahnya dulu yang menimbulkan rasa segan dan ingin membalas jasa lalu terlantiklah anaknya sebagai pengganti.

Hal sebegini banyak berlaku dalam negara yang menggunakan sistem berkerajaan. Cara ini tidaklah menjadi satu kesalahan yang besar sekiranya anak itu memang berkemampuan menjadi seorang pemimpin setara dengan pimpinan yang telah ditunjukkan oleh ayahnya. Tetapi amatlah malang sekiranya pencalonan anak sebagai pemimpin lantaran ayahnya bekas seorang pemimpin.

Di samping itu, membanggakan keturunan dalam bentuk tidak menghukum orang keturunan ningrat atau yang berdarah mulia apabila mereka melakukan kesalahan, bahkan kesalahan itu cenderung pula ditutup.

Apabila orang biasa melakukan kesalahan, hukuman yang dijatuhkan kepadanya jauh lebih berat daripada kesalahan yang dilakukan oleh orang berdarah mulia tadi.

Ini adalah satu bentuk ketidakadilan yang sewajarnya dijauhkan. Tersebut dalam sebuah riwayat, ketika sahabat bertanyakan soal ini, Rasulullah menegaskan: “Seandainya anakku Fatimah mencuri, akan aku potong tangannya.”

Mencela keturunan

Harus kita akur bahawa kemuliaan seseorang itu harus kita ukur dengan tingkat ketakwaannya kepada Allah. Oleh yang demikian, seseorang muslim tidak dibenarkan mencela orang lain dengan sebab keturunan.

Misalnya, kalau bapa atau ibunya tidak baik, maka kita boleh menganggap anak-anaknya juga tidak baik, lalu kita mencelanya, dan begitu juga sebaliknya. Memang adakalanya bila orang tua tidak baik, anaknya juga ikut menjadi tidak baik, namun kita tidak boleh menganggap semuanya seperti itu. Ada juga yang ibu bapa amat tidak senonoh tetapi anak-anaknya pula bersopan dan amat baik.

Menurut cacatan sejarah, pada zaman jahiliah, mencela keturunan merupakan perkara yang biasa terjadi, bahkan seringkali permusuhan seseorang dengan orang lain akan berlanjutan turun-temurun kepada anak cucu.

Islam bawaan junjungan saw tidak membenarkan perlakuan mencela orang lain sedemikian rupa, apalagi atas alasan keturunan kerana boleh jadi yang dicela sebenarnya lebih baik daripada yang mencela.

Dalam soal ini, Allah berfirman, maksudnya: “Hai orang yang beriman, janganlah suatu kaum memburuk-burukkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diburuk-burukkan) itu lebih baik dari mereka (yang memburuk-burukkan) dan jangan pula wanita memburuk-burukkan wanita lain kerna boleh jadi wanita (yang diburuk-burukkan) lebih baik daripada wanita (yang memburuk-burukkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-laran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman, dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.”

Meminta diturunkan hujan melalui binatang

Nikmat anugerah Allah swt. dengan turunnya hujan yang cukup adalah dambaan manusia dalam kehidupan di atas dunia ini kerana dengan demikian, di samping akan terpenuhnya keperluan terhadap air yang memang sangat penting bagi manusia, juga dapat terpenuhnya bekalan air bagi aktiviti pertanian dan penternakan serta lingkungan hidup akan terasa lebih nyaman.

Kemarau yang panjang pula akan mengakibatkan semakin panas suhu udara dan mengurang atau mengeringkan sumber air bagi manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Lantaran itu, Islam mengajar umatnya supaya meminta hujan kepada Allah dengan cara melaksanakan solat istikharah.

Namun, dalam kehidupan masyarakat kita, terdapat budaya yang amat bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri, terutama dalam kaitan meminta hujan.

Di kampung-kampung terpencil, masih ada yang meminta hujan melalui binatang. Mereka akan menyiram kucing dengan air dan sebagainya. Dengan cara itu, mereka berpendapat hujan akan turun. Sesungguhnya, perbuatan semacam ini bukan hanya mengganggu binatang tetapi juga dapat merosakkan keyakinan yang bersih, sesuatu yang harus selalu dipelihara oleh setiap muslim agar keyakinannya tidak bercampur dengan kemusyrikan.

Lantaran itu, apabila ada seorang muslim meminta hujan dengan perantaraan binatang maka keyakinan dan perilakunya itu bermakna masih bersifat jahiliah.

Meratap dan meraung di hadapan mayat

Setiap yang bernyawa di dunia ini pasti akan mati apabila tiba ajalnya. Kematian adalah satu perkara yang biasa. Setiap dari kita pasti akan mencapai detik kematian, cepat atau lambat berserahlah kepada Yang Maha Mengetahui.

Sewaktu ada anggota keluarga kita, orang yang kita cintai atau tokoh masyarakat yang menjadi penaung kita dalam kebaikan meninggal dunia, kesedihan atas kematian mereka adalah sesuatu yang mungkin terjadi.

Bahkan, menurut sebuah riwayat, Saidina Umar Ibn Khattab ketika dikhabarkan bahawa Rasulullah wafat, berasa tidak percaya. Lantaran itu, dengan pedang terhunus di tangan, beliau lantang berkata: “Kalau ada sesiapa yang menyatakan Rasulullah saw sudah wafat, akan aku tebas batang lehernya.”.

Mendengar kenyataan itu, dengan segera Abu Bakar as-Sidiq menenangkan Saidina Umar dan menegaskan bahawa Rasulullah memang telah wafat.

Bersedih di atas kematian seseorang memang dibolehkan tetapi kesedihan yang berlebihan sehingga meratap dan meraung dengan memukul-mukul badan, kepala, muka, menarik-narik rambut dan mengucapkan kata-kata yang menggambarkan tidak adanya rasa yakin atau percaya kepada Allah adalah sesuatu yang tidak dibenarkan.

Ini kerana di dalam kitab hadis Riyadush Shalihin, Rasulullah menganggap orang seperti itu sebagai orang yang bukan umat baginda. Melalui sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: “Bukan dari golonganku orang yang memukul-mukul pipi, merobek saku dan menjerit dengan suara kaum jahiliah.”

Meratapi sehingga meraung di hadapan mayat terjadi kerana seseorang itu tidak menerima kematian orang yang diratapinya itu. Seharusnya dia perlu akur bahawa kematian tidak mampu ditolak oleh sesiapa pun yang bergelar makhluk-Nya.

Apa yang seharusnya seseorang yang hidup lakukan ialah menjadikan kematian itu sebagai satu tazkirah, pedoman, peringatan, iktibar dan sebagainya supaya melebihkan amal ibadah yang baik kerana dia juga akan menyusul ke alam lahud suatu ketika nanti.

Akibat terlalu sedih, kita dapati ada sesetengah orang yang sanggup membangunkan tanah kuburan dengan pelbagai monumen dengan alasan lambang kasih sayang, cinta, rindu dan sebagainya meskipun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.

Ada juga yang menganggap roh seseorang yang sudah mati itu sebagai keramat, wali Allah, lalu beberapa gelaran pun diwujudkan seperti Tok Serban Hijau, Syeikh Panglima Hitam, Tok Syeikh Serban Panjang Ke Tanah, Wali Allah Syeikh Haji Patani dan lain-lain lagi.

Mereka akan berdoa dengan meminta bantuan kepada orang yang sudah mati, meminta disihatkan daripada pelbagai penyakit, meminta dimurahkan rezeki, meminta air penawar, air penerang hati dan sebagainya.

Bahkan, ada juga kuburan ini ditutup dengan kelambu, dipasangkan kain langsir, dipagarkan dan disediakan air minum di atasnya. Ini semua tidak pernah dibenarkan di dalam Islam.

Apabila ada kaum muslimin melakukan hal seperti itu, bermakna dia masih melakukan amalan-amalan kejahiliahan yang amat menyimpang jauh daripada landasan agama Islam yang sebenarnya.

Sebagai seorang Islam, kita harus menjauhi dan meninggalkan segala amalan kehidupan yang tidak sejajar dengan nilai-nilai Islam. Lantaran itu, marilah kita membuang semua amalan sedemikian supaya kita tidak tergolong di dalam mempraktikkan tugas manusia jahiliah.

Kenapa Hati Mesti Dijaga

Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya:

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. "

Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.

Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.

Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:

* Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.

Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera. Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang bermaksud: "Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera). "  Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.

Apa yang perlu mereka ketahui, ialah bahawa hati manusia terbahagi kepada tiga jenis, satu positif dan dua yang lain adalah negatif, ia terserah kepada manusia Muslim untuk memilih salah satu daripada tiga jenis hati: (a) hati yang sejahtera (daripada segala bentuk khurafat, syirik, bidaah, nifaq), (b) hati yang mati dan (c) hati yang sakit.

Hati yang sejahtera

Iaitu hati yang sejahtera daripada menuruti hawa nafsu serakah yang menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan syirik kepada-Nya, tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia adalah hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya lebih daripada isi dunia, takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk menemui-Nya, ikhlas kerana-Nya, mengasihi seseorang Muslim dan membencinya kerana-Nya, sentiasa sokong dan cenderung kepada hukum-hakam- Nya, terselamat daripada jangkitan virus penyakit hati. Inilah hati yang hidup sejahtera, lembut, sedia menerima nasihat.

Hati yang mati

Iaitu hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera 100 peratus, iaitu membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah, menuruti hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum- Nya, membenci golongan yang menyeru kepada kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima nasihat yang baik malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat. Itulah hati yang mati dengan Islam.

Hati yang sakit

Iaitu hati yang tidak konsisten, adakalnya cenderung kepada kebaikan dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung kepada kejahatan, inilah hati sekejap baik sekejap jahat.

Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?

Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web islamonline. net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:

1. Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.
2. Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.
3. Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.
4. Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.
5. Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.
6. Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.
7. Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.

Tanda-tanda hati yang rosak:

1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.
2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.
4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.
5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka melakukan kebaikan.
7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.
8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.
9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak takut kepada Allah.

8 Golongan Jahat yang termaktub dalam Al-Quran

1- Golongan yang tidak mendapat sedikit pun kebaikan di Akhirat, surah Al-Baqarah ayat : 200.

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

2-Manusia yang suka berbantah-bantah, surah Luqman ayat : 20.

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran

3-Golongan yang mengaku beriman kepada Allah SWT sedangkan mereka sebenarnya tidak beriman kepada Allah SWT, surah Al-Baqarah ayat : 8.

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

4-Golongan yang sentiasa bersahabat karib selain daripada Allah SWT, surah Al-Baqarah ayat : 165.

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).

5-Golongan yang mempergunakan Firman Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW untuk memperdayakan orang lain, surah Al-Baqarah ayat : 204-205.

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

6-Menyembah Allah SWT tanpa disertai dengan keyakinan yang penuh, surah Al-Haj ayat 11.

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

7-Beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW tetapi tidak sanggup menghadapi ujian dan dugaan Allah SWT, surah Al-Angkabut ayat : 10.

Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: “Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu”. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?

8-Golongan yang menggunakan ayat Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW untuk menyesatkan orang lain, surah Luqman ayat : 6.

Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.