Sunday, October 14, 2012

Program Smart Solat 2012

Pada 13 Oktober 2012 (Sabtu), Surau Saidina Ali Fasa 11 Presint 9 Putrajaya telah berjaya menganjurkan Program SMART SOLAT 2012. Program ini yang khas diadakan untuk anak-anak kariah Apartment Fasa 11 Presint 9 Putrajaya yang berumur diantara 7 hingga 15 tahun telah diadakan selama satu hari yang bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 6.00 petang. Program ini telah berjaya menarik peserta seramai 70 orang.


 Pendaftaran bermula seawal 0734 pagi diketuai oleh En. Suhaswadi Shaari dan En. Samsul Bahar Md Yusuff
Peserta telah dibimbing dari awal hingga akhir oleh Ustaz Mohd Abdullah (Blok A) dan Ustaz Sofian Shafiq Ahmad (Blok C) serta dibantu oleh AJK Surau Saidina Ali yang lain. 
Peserta telah didedahkan dari awal persediaan sebelum solat sehinggalah adab-adab berdoa dalam sembahyang.

Ustaz Mohd Abdullah dan Ustaz Sofian Shafiq Ahmad sedang mengendalikan program

Program ini bertujuan adalah untuk membentuk pelajar yang bijak dan tahu cara-cara melaksanakan solat dengan baik dan benar. Setiap peserta yang mengikuti program ini telah didedahkan cara berwuduk dan mengerjakan solat yang betul.
Imam Rusmadi sedang mengajar cara solat yang betul
Matlamat Program Smart Solat 2012 ini juga diadakan adalah untuk melahirkan insan yang mampu melaksanakan ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah secara praktikal agar dapat diamalkan dalam kehidupan mereka seharian.
Imam Rusmadi sedang mengajar cara-cara mengambil wudhu dengan betul dan Ustaz Mohd Abdullah sedang mengajar cara mengangkat takbir dengan betul
Disamping itu juga program ini bertujuan untuk melahirkan insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat serta menjadi insan yang bertakwa kepada Allah dan diharapkan agar sahsiah dan rohani mereka juga dapat dilengkapkan dengan iman, ilmu, takwa dan amal ibadah serta berperibadi.
 Melahirkan insan yang boleh menjadi imam dalam keluarga dan masyarakat
Rasulullah SAW berpesan, sabdanya: ”Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah dia kerana tidak bersembahyang ketika usia sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka.” (Hadis riwayat Al-Hakim dan Abu Daud).


Apabila telah ditanam ke dalam hati anak-anak kita tentang iman dan adab serta ilmu yang kukuh, insya Allah apa sahaja pengaruh dari luar sukar untuk merosakkan benteng yang tebal ini.

Upacara penyampaian Sijil Penyertaan kepada peserta-peserta

Semua peserta telah diberikan sijil penyertaan diakhir program ini.


Contoh Sijil Penyertaan Program Smart Solat 2012

Insyallah, usaha murni Surau Saidina Ali ini akan diteruskan sebagai acara tahunan atau kemungkinan enam (6) bulan sekali agar dapat secara konsisten menyedarkan para peserta tentang kepentingan solat dan ibadah serta memupuk disiplin yang mantap. Juga dapat menyemai keimanan, keyakinan diri dan berfikiran positif apabila menghadapi kekangan dan dugaan dalam kehidupan.

Gambar penuh, sila klik di: Album 1 dan Album 2

Thursday, October 11, 2012


Modul rujukan program ini adalah berdasarkan kepada buku “Mari Memahami dan Menghayati Bacaan Solat” oleh Ustaz Prof, Madya Dr Hasnan bin Kasan, Penasihat AITC. Nota program mengandungi dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Arab berserta dengan nota bergambar.

Sijil Penyertaan program akan dikeluarkan oleh Surau Saidina Ali dan akan diberikan kepada setiap peserta.

Borang Permohonan dan Aturcara Program boleh dimuat-turun di sini:

Sebarang pertanyaan sila hubungi:
 En. Rusmadi Ismail (013-2104311) atau Mohd Sulaiman Sinawi (017-3706302)

Thursday, September 20, 2012

Program Ibadah Korban & Aqiqah 1433 H / 2012 M

Muslimin dan muslimat yang budiman, khususnya kariah Apartment Fasa 11 Presint 9 Putrajaya,


Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT di atas segala rahmat, nikmat keimanan, dan rezeki yang melimpah-ruah kepada kita. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW dan keluarga serta para sahabat baginda.

Kini bulan Zulhijjah hampir tiba, jesteru itu peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah korban adalah sentiasa dinanti-nantikan dan direbut oleh mereka yang berkemampuan.

Atas rasa amanah dan tanggungjawab kepada kariah setempat, Surau Saidina Ali Presint 9 Putrajaya sekali lagi akan menganjurkan “Program Ibadah Korban/Aqiqah Aidil Adha 1433H” sebagai inisiatif untuk menggalakkan umat Islam menunaikan ibadah korban di tempat mereka sendiri yang lebih memerlukan bantuan.

Sebagaimana kita ketahui Hari Raya Aidil Adha dijangka akan jatuh pada 26 Oktober 2012 (Jumaat), sekiranya masa mengizinkan dengan bilangan lembu korban yang sedikit maka program ini akan dianjurkan pada Hari Raya Aidil Adha itu sendiri yakni 26 Oktober 2012 (Jumaat). Jika masa tidak mengizinkan dengan bilangan lembu korban yang banyak serta pertembungan dengan solat Jumaat maka program ini akan dianjurkan pada hari berikutnya iaitu pada 27 Oktober 2012 (Sabtu). Namun tarikh sebenar Program Ibadah Korban/Aqiqah ini akan dimaklumkan kepada tuan-tuan/puan-puan pada/selepas 14 Oktober 2012 melalui notis di blok masing-masing, notis di Surau Saidina Ali, blog Surau Saidina Ali dan emel. Sila daftar alamat emel anda pada haspa@malaysiaairlines.com untuk mendapatkan berita-berita, notis-notis, program-program dan aktiviti-aktiviti Surau Saidina Ali yang terkini.

Pada tahun ini, satu bahagian lembu ditetapkan sebanyak RM380.00. Pembayaran boleh dibuat secara tunai atau cek sehingga tarikh tutup iaitu pada atau sebelum 14 Oktober 2012.

Kesemua pembayaran dengan borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada wakil blok seperti di bawah:

> Wakil Blok A - En. Samsul Bahar Md Yusuff (012 6177456)
> Wakil Blok B - En. Suhaimi Mustapha (012 6342289)
> Wakil Blok C - En. Aziz (019 6078451)

Atau terus kepada Bendahari Surau Saidina Ali En. Hassannuddin Sulaiman (013 3335313).

Ingin dimaklumkan juga bahawa, jika bersetuju, lebihan wang sumbangan akan dimasukkan ke dalam tabung Surau Saidina Ali. Sekiranya tidak bersetuju, wang akan dikembalikan dalam masa 14 hari selepas daripada tarikh perlaksanaan korban.

Borang penyertaan boleh didapati di Surau Saidina Ali. Boleh juga didapati melalui muat-turun di Borang Ibadah Korban & Aqiqah 1433 H / 2012 M atau emel kepada haspa@malaysiaairlines.com.

Semoga Allah menerima amal kebaikan kita semua. Dengan melaksanakan ibadah korban di tempat-tempat yang lebih memerlukan insya-Allah kita mendapat ganjaran yang berlipat ganda. Allah berfirman dalam surah Al-Hajj, ayat ke 37 yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu”.

Diriwayatkan oleh Tarmizi bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:


“Tiada dibuat oleh anak adam pada Aidil Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah SWT daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih".

Sekian. Terima kasih.

Pengerusi

Surau Saidina Ali

Apartment Fasa 11 Presint 9

Putrajaya