Wednesday, July 25, 2012

Ramadhan Mentarbiyah Aqidah, Ibadah & Akhlaq Insan


Ramai para ulama menggelar bulan Ramadhan sebagai bulan tarbiyyah.  Di dalamnya penuh dengan rahmat & keampunan ALLAH `Azza wa Jalla.  Ditambah pula makhluq ALLAH yang bernama Syaitan telah digari dan dibelenggu sepanjang bulan yang mulia ini.  Disebabkan oleh musuh utama manusia iaitu Syaitan itu telah dikeluarkan dari diari hidup manusia buat sementara waktu, maka manusia bisa beroleh kekuatan tambahan dalam membentuk diri untuk meletak bekalan taqwa ke dalam dada masing-masing.

Betapa ramainya manusia yang tiba-tiba menjadi dekat dengan ALLAH dan jinak dengan masjid apabila Ramadhan datang menziarahi hidup manusia.  Inilah barakah yang terdapat di bulan Ramadhan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

Aqidah

Dengan hadirnya Ramadhan, jiwa insan segera dekat dengan Rabbnya.  Tiba-tiba insan menjadi sedar bahawa Rabbnya sedang memerhatikannya.  DIA sedang melihatnya.  Kesyahduan Iman yang terbit dari lubuk hati tiba-tiba terasa.  Segar kerana perasaan bertuhan mula terasa.

Keikhlasan sebagai hamba mula terbentuk dari tarbiyah Ramadhan.  Setiap langkah dan nafasnya mula berlatih mengingati Tuhan.  Rukun-rukun Iman mula mengukuh terbina di dalam hati.  Betapa Ramadhan memang menjadi medan tarbiyyah memasak asas aqidah insan kepada Tuhannya.

Bukan itu sahaja, malah keimanan terhadap Nabi dengan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi turut mekar pada bulan yang mulia ini.  Di sana sini para penceramah mengingatkan hadirin masjid dengan hadith-hadith akan kelebihan Ramadhan.  Walaupun masih terdapat para ustadz yang tanpa mereka sedari telah menyampaikan hadith-hadith dhaif, malah palsu, namun senario manusia berduyun-duyun mengambil fadhilat-fadhilat tersebut menunjukkan betapa suburnya kepercayaan mereka kepada hadith-hadith Nabi yang selama ini tandus tidak bersiram.  Nah, Ramadhan memang medan membaja insan dengan aqidah beragama.  Semua elemen rukun Iman mula dibaiki sepanjang tempoh ini.

Ibadah

Segala pujian bagi ALLAH yang menciptakan bulan ini yang darinya membuatkan manusia kuat ibadah kepada ALLAH.  Peluang amalan berganda sentiasa menjadi fokus hambaNYA yang beribadah.  DIA lah Ilah yang segala ibadah semuanya tertumpu kepadaNYA.

Yang jarang ke masjid, mula ke masjid.  Yang tidak menutup aurat, mula menutup aurat.  Yang selama ini menyimpan al-Quran di tempat tinggi lama tidak membukanya, mula membuka dan membacanya.  Yang jarang ke majlis ilmu, mula berjinak duduk menghirup udara ‘taman syurga’ itu.  Yang malas solat, mula jaga solat kerana risau puasanya tidak diterima.  Pendek kata, kita lihat ramai manusia menjadi kuat beribadah kepada ALLAH apabila mulanya 1 Ramadhan.

Inilah keberkatan Ramadhan.  Hati manusia menjadi jinak dengan agama.  Semuanya berebut-rebut ganjaran yang berganda-ganda.  Betapa Ramadhan meniup semangat insan untuk beribadah kepada ALLAH.

Akhlaq

Puasa Ramadhan menyebabkan badan manusia lemah.  Bukan sahaja badan lemah, malah nafsu juga lemah.  Ditambah pula dengan hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mengatakan bahawa ALLAH tidak berhajat dengan puasa seseorang jika lidahnya tidak dijaga.  Di dalam hadith qudsi juga, ALLAH Ta`ala juga telah mengatakan bahawa puasa ialah sebagai perisai yang boleh menjadi asbab yang ampuh untuk manusia menjaga akhlaqnya.

Atas faktor-faktor di atas, maka Ramadhan tentunya bisa menjadi medan kursus yang efektif untuk mentarbiyyah manusia dalam bab akhlaq.  Kita sedia maklum bahawa lidahlah selalu menjadi faktor manusia bergaduh dan bertelingkah.  Justeru, Ramadhan dilihat boleh menarik perhatian manusia agar berhati-hati dalam bab menggunakan lidah untuk bercakap.

Malah, ALLAH `Azza wa Jalla menyarankan manusia apabila diajak bergaduh atau bertengkar, jawablah kepada orang itu “sesungguhnya saya sedang berpuasa”.  Nah, puasa bisa menjadi medan ampuh manusia mendidik nafsunya agar bersabar dan jangan cepat melatah dengan perangai manusia yang terburu-buru.
Bukan sahaja lidah, malah lain-lain pancaindera seperti mata, telinga, tangan dan kaki turut terdorong menjadi lebih baik di bulan yang mulia ini.  Kerana nafsu sudah lemah disebabkan berpuasa.  Ditambah pula kerisauan pahala puasa menjadi luput akibat menggunakan pancaindera di jalan yang salah.

Malah hati juga semakin lembut dan mula berfikir tentang nasib orang lain yang lebih susah.  Hati mula sensitif, simpati dan empati terhadap orang lain.  Ini kerana nafsu yang selama ini beraja di dalam hati sudah menjadi lemah dan hati yang sejahtera mula segar dengan keimanan kepada ALLAH.  Apabila hati mula baik, maka lain-lain pancaindera pun akan turut menjadi baik.  Kerana hati itu raja.

Maha Suci ALLAH.  Betapa Ramadhan sangat memberi kesan kepada manusia dalam mendidik akhlaq.
Ya, Ramadhan memang medan tarbiyyah.  Ia medan kursus untuk menyegarkan kembali aqidah, ibadah dan akhlaq.  Agar semuanya lurus di atas jalan ALLAH.  Namun, berapa ramai yang betul-betul berpatisipasi di dalam kursus sebulan ini lantas melahirkan buah tarbiyyah yang cantik?  Tidak ramai.  Moga-moga saya dan kalian tergolong di dalam golongan hambaNYA yang berjaya melalui Ramadhan dengan diijazahkan ketaqwaan di dalam diri, amin.

- www.muzir.wordpress.com


Thursday, July 19, 2012

Kesilapan yang Kerap Dilakukan Dalam Bulan Ramadhan

Kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja
(Bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.

Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.
Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.

Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.

Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur hingga tidak puasa.
Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Atau jangan sesekali masih makan melepasi waktu imsak lalau mengganggap puasanya sudah terbatal. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.

Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram.
Samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-


ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.

Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلومErtinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا تردErtinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Monday, July 16, 2012

Keutamaan Ibadah Puasa Bulan Ramadhan

Ramadhan yang mulia bakal menemui kita, insyaALLAH. Sama-samalah kita berdo’a kepada ALLAH ‘Azza wa Jalla agar kita dipanjangkan umur untuk hidup di dalam bulan Ramadhan, dan diberikan hidayah dan taufiq serta daya kekuatan agar dapat mengambil manfaat dari kebaikan-kebaikan yang telah ALLAH ‘Azza wa Jalla sediakan di dalamnya, amin.

Sungguh, golongan yang bersungguh-sungguh mengejar Taqwa untuk dijadikan bekal bertemu dengan ALLAH Jalla wa A’la pada hari akhirat nanti sangat rindu menanti-nantikan kehadiran bulan yang mulia ini, iaitu Ramadhan Mubarak. Marilah kita contohi mereka dalam mengejar kebaikan.

Berikut disenaraikan kalam ALLAH yang Maha Mulia dan kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, agar dapat sama-sama kita meneliti dan menghayati dengan sungguh-sungguh akan kelebihan bulan Ramadhan yang bakal kita hadapi beberapa hari lagi, insyaALLAH.

1. Puasa adalah ibadah fardhu yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, dengan tujuan agar memperolehi Taqwa. ALLAH subhanahu wata’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 2:183)

2. Ibadah puasa sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH dan ALLAH sendiri yang akan mengganjarinya. Puasa boleh menjadi perisai dari perbuatan tidak berfaedah dan kegembiraan yang besar bagi orang-orang yang beriman yang melakukan ibadah puasa ini.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:

“ALLAH ‘Azza wa Jalla berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKU dan AKU yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNYA, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi ALLAH lebih harum dari bau minyak kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu gembira ketika ia berbuka dan gembira ketika ia menghadap Tuhannya kerana besar pahala puasa” (HR Bukhari & Muslim)

3. Ibadah puasa pada bulan Ramadhan boleh menghapuskan semua dosa-dosa yang pernah kita lakukan pada masa lampau.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

4. Pada bulan Ramadhan, sekalian manusia mempunyai peluang yang besar untuk melakukan kebaikan dan menggandakan kebaikan-kebaikan itu. Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila bulan Ramadhan datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutuplah pintu-pintu neraka, serta diikat syaitan-syaitan.” (HR Bukhari & Muslim)

Banyak hikmah yang boleh kita perolehi daripada kalam-kalam yang mulia di atas. Semoga ia dapat membuka minda dan roh kita untuk sama-sama mengejar kebaikan-kebaikan yang terdapat di dalam bulan Ramadhan, insyaALLAH.