Thursday, July 19, 2012

Kesilapan yang Kerap Dilakukan Dalam Bulan Ramadhan

Kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja
(Bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.

Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.
Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.

Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.

Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur hingga tidak puasa.
Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Atau jangan sesekali masih makan melepasi waktu imsak lalau mengganggap puasanya sudah terbatal. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.

Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram.
Samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-


ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.

Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلومErtinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا تردErtinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Monday, July 16, 2012

Keutamaan Ibadah Puasa Bulan Ramadhan

Ramadhan yang mulia bakal menemui kita, insyaALLAH. Sama-samalah kita berdo’a kepada ALLAH ‘Azza wa Jalla agar kita dipanjangkan umur untuk hidup di dalam bulan Ramadhan, dan diberikan hidayah dan taufiq serta daya kekuatan agar dapat mengambil manfaat dari kebaikan-kebaikan yang telah ALLAH ‘Azza wa Jalla sediakan di dalamnya, amin.

Sungguh, golongan yang bersungguh-sungguh mengejar Taqwa untuk dijadikan bekal bertemu dengan ALLAH Jalla wa A’la pada hari akhirat nanti sangat rindu menanti-nantikan kehadiran bulan yang mulia ini, iaitu Ramadhan Mubarak. Marilah kita contohi mereka dalam mengejar kebaikan.

Berikut disenaraikan kalam ALLAH yang Maha Mulia dan kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, agar dapat sama-sama kita meneliti dan menghayati dengan sungguh-sungguh akan kelebihan bulan Ramadhan yang bakal kita hadapi beberapa hari lagi, insyaALLAH.

1. Puasa adalah ibadah fardhu yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, dengan tujuan agar memperolehi Taqwa. ALLAH subhanahu wata’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 2:183)

2. Ibadah puasa sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH dan ALLAH sendiri yang akan mengganjarinya. Puasa boleh menjadi perisai dari perbuatan tidak berfaedah dan kegembiraan yang besar bagi orang-orang yang beriman yang melakukan ibadah puasa ini.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:

“ALLAH ‘Azza wa Jalla berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKU dan AKU yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNYA, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi ALLAH lebih harum dari bau minyak kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu gembira ketika ia berbuka dan gembira ketika ia menghadap Tuhannya kerana besar pahala puasa” (HR Bukhari & Muslim)

3. Ibadah puasa pada bulan Ramadhan boleh menghapuskan semua dosa-dosa yang pernah kita lakukan pada masa lampau.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

4. Pada bulan Ramadhan, sekalian manusia mempunyai peluang yang besar untuk melakukan kebaikan dan menggandakan kebaikan-kebaikan itu. Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila bulan Ramadhan datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutuplah pintu-pintu neraka, serta diikat syaitan-syaitan.” (HR Bukhari & Muslim)

Banyak hikmah yang boleh kita perolehi daripada kalam-kalam yang mulia di atas. Semoga ia dapat membuka minda dan roh kita untuk sama-sama mengejar kebaikan-kebaikan yang terdapat di dalam bulan Ramadhan, insyaALLAH.

Tuesday, July 10, 2012

Persiapan Menyambut Ramadhan.

Apakah perkara yang harus dipersiapkan menjelang kedatangan tetamu bernama Ramadhan ini?

1) Niat yang sungguh-sungguh

Ketika Ramadhan menjelang banyak orang beramai-ramai pergi ke pasaraya untuk persiapan berpuasa. Mereka juga mempersiapkan dan merencanakan anggaran perbelanjaan untuk bulan tersebut. Namun sedikit dari mereka yang mempersiapkan hati dan niat untuk Ramadhan.

Puluhan kali Ramadhan menghampiri seorang muslim tanpa meninggalkan pengaruh baik dan kesan positif pada dirinya seakan-akan ibadah Ramadhan hanya sekedar ritual belaka. Sekadar untuk menggugurkan kewajiban tanpa menghayati dan meresapi semangat atau ruh ibadah tersebut. jika Ramadhan berlalu dia kembali kepada kondisinya asalnya semula.

Pancakkanlah niat untuk menjadikan Ramadhan kali ini dan selanjutnya sebagai musim untuk menghasilkan berbagai macam kebaikan dan memetik pahala sebanyak-banyaknya. Anggaplah Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan terakhir yang kita lalui kerana kita tidak bisa menjamin kita akan bertemu Ramadhan di tahun-tahun berikutnya. Tanamkan tekad yang disertai dengan keikhlasan untuk konsisten dalam beramal saleh dan beribadah pada bulan Ramadhan ini.

Ingat sabda Rasulullah Saw.: “Barangsiapa yang puasa Ramadhan kerana imandan ikhlas maka Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu.”

2) Bertaubat dengan sungguh-sunguh.

“Setiap manusia adalah banyak berdosa dan sebaik-baik orang yang banyak berdosa adalah yang bertaubat”. Demikian sabda Rasulullah saw seperti yang diwartakan Ahmad dan Ibnu Majah.

Ketika seorang hamba tenggelam dalam kelalaian kerana harta benda, anak isteri dan perhiasan dunia lain yang membuat dia lupa kepada tuhannya, tertipu dengan godaan syaitan, dan terjatuh ke dalam berbagai macam bentuk maksiat, datanglah bulan Ramadhan untuk mengingatkannya dari kelalaiannya, mengembalikannya kepada tuhannya, dan mengajaknya kembali memperbaharui taubatnya.

Ramadhan adalah bulan yang sangat layak untuk memperbarui taubat; kerana di dalamnya dilipat gandakan kebaikan, dihapus dan diampuni dosa, dan diangkat darjat. Jika seorang hamba selalu dituntut untuk bertaubat setiap waktu, maka taubat pada bulan Ramadhan ini lebih dituntut lagi; kerana Ramadhan adalah bulan mulia waktu di mana rahmat-rahmat Allah turun ke bumi.

Segeralah bertaubat! Kerana tiada seorang pun dari kita yang bersih dari dosa dan bebas dari maksiat. Pintu taubat selalu terbuka dan Allah senang dan gembira dengan taubat hambanya. Taubat yang sungguh-sungguh atau taubat nasuha adalah dengan meninggalkan maksiat yang dilakukan, menyesali apa yang telah dilakukan, dan berjanji untuk tidak kembali mengulangi maksiat tersebut, dan jika dosa yang dilakukannya berkaitan dengan hak orang lain hendaknya meminta maaf dan kerelaan dari orang tersebut.

3) Mengetahui hal-hal yang berkaitan dengan puasa dan ibadah Ramadhan lain.

“Menuntut ilmu wajib setiap muslim” (HR. Ibnu Majah). Ilmu yang Rasulullah saw maksudkan dalam hadith ini adalah ilmu yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah yang Allah wajibkan kepada setiap hamba. Setiap muslim wajib mempelajari ilmu tersebut; kerana sah atau tidaknya ibadah yang dilakukannya tergantung dengan pengetahuannya tersebut.

Seorang yang ingin melakukan solat wajib mengetahui syarat-syarat atau rukun-rukun atau hal-hal yang membatalkan solat dan lain-lainya, agar solatnya sesuai dengan tuntutan agama.

Begitu juga bulan Ramadhan di bulan ini Allah mewajibkan kepada setiap muslim yang mampu untuk berpuasa. Maka sudah menjadi kewajiban setiap muslim untuk membekalkan dirinya dengan hal-hal yang berkaitan dengan syarat-syarat dan rukun-rukun puasa, hal-hal yang membatalkan puasa, hal-hal yang dimakruhkan dan diharuskan dalam puasa, hal-hal yang membatalkan puasa dan lain-lain supaya puasa yang dilakukannya sesuai dengan tuntunan syariah dan perbuatannya tidak sia-sia.

Di samping pengetahuan yang berkenaan dengan puasa, pengetahuan-pengetahuan lain yang berkaitan dengan Ramadhan juga perlu seperti anjuran-anjuran, keutamaan amal yang harus dilakukan dalam Ramadhan dan lain-lain agar setiap muslim dapat mengoptimalkan bulan ini sebaik mungkin.

4) Persiapan fizikal (jasmani).

Menahan diri untuk tidak makan dan minum di siang hari selama sebulan tentu memerlukan kekuatan fisikal yang tidak sedikit. Belum lagi kekuatan yang dituntut untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat tarawih dan solat sunnah lainnya, ditambah kekuatan untuk memperbanyak membaca Al-Qur’an dan beri’tikaf selama sepuluh hari di akhir Ramadhan.

Kesemua hal ini menuntut kita selalu dalam kesihatan yang sempurna sehingga dapat memanfaatkan Ramadhan dengan optimal dan maksima. Melakukan puasa sunnah pada sebelum Ramadhan adalah salah satu cara melatih diri untuk mempersiapkan dan membiasakan diri menghadapi Ramadhan.

Oleh kerananya Rasulullah saw mencontohkan kepada umatnya bagaimana beliau memperbanyak puasa sunnah pada bulan Sya’ban, sebagaimana yang diwartakan Aisyah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah Saw. berpuasa selama sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat beliau berpuasa (sunah) lebih banyak dari bulan Sya’ban.” (Muttafaq Alaih)

Inilah diantara hal-hal yang mesti dipersiapkan untuk menyambut datangnya bulan kesabaran ini.