Friday, May 4, 2012

Kesilapan Umat Islam Pada Hari Jumaat

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah. Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah S.W.T memberi kebebasan dan  ruang yang cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki  dengan apa cara sekalipun termasuklah berniaga dan berjual beli. . Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus   yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9:

Yang Bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).

Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah S.W.T terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan Solat  Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli  dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut:

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua. ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah saw tetapi bezanya  aktiviti jual beli itu itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar. Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada waktu tersebut khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat walaupun hukum jual beli tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.

Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lau Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud “ Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau ( wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.

Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain ialah kerana  terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat.  Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T  memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid  pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid  terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani  kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang.  Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :

Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditangguhkan sementara waktu ketika mana  azan kedua berkumandang.

Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.

Ketiga:  Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping  mengambil peluang  masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah .  

@copyright Mesjid Negara.

Wednesday, May 2, 2012

10 Gangguan Syaitan Ketika Solat


1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram

Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.

Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.

Sahabat Rasullullah S.A.W, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasullullah S.A.W dan mengadu, “Wahai Rasullullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasullullah S.A.W menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib."

“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah S.W.T gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim)

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasullullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan

Abu Hurairah berkata, “Rasullullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.

Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.

Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, "Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!" Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat


Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasullullah S.A.W ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasullullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasullullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.

Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu


Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasullullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasullullah S.A.W,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat


Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasullullah hukum melihat ketika solat”. Rasullullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk


Rasullullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasullullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat


Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10) Terasa ingin buang angin atau buang air


Rasullullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).

Firman Allah S.W.T Bermaksud: “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” [Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].

Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.Semoga ia beroleh manfaat dan sentiasa mempertingkatkan mutu ibadah kepada Allah S.W.T.






(Kredit kepada pelam dari fuiyo.net)

Saturday, April 28, 2012

Nasihat Itu Penawar

1. Hidup kita akan sangat bermakna dan tidak meleret kepada kerugian andai kita sering nasihat menasihati, pesan memesan dan wasiat mewasiat sesama kita. Bila umat Islam hidup di atas budaya dan tradisi mulia ini maka maslahah dan manfaatnya kembali kepada diri dan kehidupan mereka sendiri.

2. Meninggalkan usaha nasihat-menasihati (An Nasihah) dan wasiat mewasiat (At Tausiyah) bermakna kita telah meninggalkan suruhan-suruhan Allah yang utama. Bila perintah Allah diabaikan maka terbukalah pintu-pintu kerosakkan. Apakah kita tidak melihat betapa kefasadan, kebobrokkan, kerendahan dan ke cacamarbaan yang berlaku saban waktu dan ketika berpunca antaranya kerana kita sewenangnya meninggalkan perintah An Nasihah dan At Tausiyah?

3. Siapakah yang boleh hidup tanpa nasihat dan pesanan? Setiap yang lemah, buntu, tersalah, tersilap, dilanda ghaflah dan musykilah semuanya perlukan nasihat. An Nasihah itulah antara makanan rohani yang tak dapat tidak perlu diberi dan diambil secara tersusun dan istiqamah lewat kehidupan manusia di dunia fana ini. Ia umpama 'dos' yang semestinya dihadamkan secara sistematik bagi mengekalkan kesihatan, keseimbangan, kesejehteraan dan kesinambungan rohaniah manusiawi. Tanpanya rohaniah manusia akan gelisah, tertekan, sakit dan menggelisah.

4. Firman Allah swt Maksudnya:Berdakwahlah kamu ke arah jalan Tuhanmu dengan Hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Hikmah mempunyai dua maksud iaitu kebijaksanaa dalam meletakkan sesuatu pada tempatnya dan juga bermaksud sunnah Nabi saw. Nasihat yang baik pula adalah dengan menggunakan lidah. Bergitu juga berbahas dan berdebat memerlukan kemahiran berbicara. Di sinilah pentingnya pendekatan dakwah menggunakan lidah.

5. Sabda Nabi saw: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.

6. Tiada siapa yang boleh hidup sejahtera bahagia dan melangkah lurus di jalan kebenaran tanpa mempraktikkan perintah nasihat dan wasiat sekalipun mereka dari kalangan para ulama.”ulama silam menulis dan mengutuskan surat sesama mereka dengan kata-kata berikut: “Barangsiapa mengelokkan batiniah (rohaniah)nya, maka nanti allah akan mengelokkan lahiriahnya, barangsiapa mengelokkan hubungannya dengan Allah, nanti Allah akan mengelokkan hubungannya dengan sesama manusia dan barangsiapa yang bersungguh beramal untuk akhiratnya maka nanti Allah akan mencukup (mengatur)kan urusan dunianya.” (Al Fatawa 8/10).

7. Kalau para ulama pun saling sentiasa menasihati dan pesan memesan, maka kita orang awam ni lagilah tidak boleh meninggalkannya. Usah benci dengan nasihat yang diberi sekalipun ia terkadang pahit untuk ditelan. Yang pahit itulah mudah-mudahan menjadi penawar di jiwa kita. Secara fitrahnya jiwa akan tenang dan akur menerima nasihat yang diberikan sepenu kasih sayang dan keikhlasan sebaliknya akan menggerutu dan tidak puas hati bilamana dimarahi dan dicaci.

8. Gunakankanlah saluran-saluran yang ada dewasa ini seperti media cetak dan elektonik, sms, email, blog dan website, capaian facebook, twitter sebagai wadah anugerah terbesar dari Allah untuk kita manfaatkan bagi merealisasi dan menjayakan perintah An Nasihah dan Al Tausiyah. Bukannya untuk melebarkan lagi jurang yang ada antara kita, memaparkan kejahatan, menyalakan api dendam dan permusuhan, menggalakkan kemaksiatan dan kedosaan, memutus silaturrahim dan sebagainya.

9. Seandainya sesuatu ummah atau bangsa itu membenci dan meninggalkan perintah An Nasihah da At Tausiyah maka ada kewajarannya mereka di'Talqin'kan saja kerana kehidupan yang berbaki selepas itu hanya kerugian yang timpa menimpa."Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk bersabar. (103:1-3)

10. Nasihatkan diriku..