Wednesday, November 24, 2010

Dosa-Dosa Facebook - Sebagai Renungan

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.


Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-


1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.


Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.






Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.






Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.






Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.


Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.


Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.


2) Terlebih gambar


Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.






Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.






Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.






Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.






Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri
lelaki dayus di sini .






3) Penyamaran


Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.






Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.





4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.


Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.






Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.






Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.






5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.


Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.






Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.






Ini boleh menjadi dosa, kerana :-






a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.


b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.


c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.






6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan






Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.





Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.






Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.










KESIMPULAN


Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.


Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.


Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.


* Sumber



http://www.zaharuddin.net/


Monday, November 8, 2010

Lima Azab Orang Yang Melengah-lengahkan Solat

Ada sebuah hadis yang panjang menerangkan mengenai solat dan anugerah yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang menjaga solatnya, dan azab yang diterima oleh mereka yang melalaikan solat. Hadis ini banyak disebutkan oleh para penceramah ketika mengadakan kuliah-kuliah agama di masjid-masjid atau madrasah di sekitar Kuala Lumpur dan di mana sahaja Hadis tersebut menyebut bahawa Allah S.W.T akan menganugerahkan 'LIMA KURNIA" atas seseorang yang menjaga solatnya lima anugerah itu ialah :-

  1. Rezekinya dipermudahkan
  2. Dia diselamatkan dari azab kubur
  3. Dia akan menerima buku catatanya dari tangan kanannya pada hari hisab
  4. Dia akan melintasi titian "SIRATHAL MUSTAQIM" pantasnya seperti kilat dan
  5. Dia masuk syurga tanpa hisab Itulah lima anugerah yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang menjaga solatnya iaitu sentia "ISTIQAMAH", bila masuk waktu solat dia terus solat.
Di samping lima anugerah ini, Allah juga memberi amaran kepada orang-orang yang melengah-lengahkan solat. Dia akan menerima "LIMA AZAB" di dunia ini. Tiga daripadanya di dalam kuburnya dan tiga lagi selepas kebangkitan kelak. Azab di dunia itu ialah :-

  1. Dia tidak diberkati dalam hidupnya
  2. Dia kehilangan Nur di mana orang-orang soleh penuh dengannya
  3. Dia tidak menerima pahala bagi amalan-amalanya yang baik
  4. Doanya tidak dimakbulkan dan;
  5. Dia tidak dapat bahagiannya dalam doa-doa orang yang soleh.
 Sementar itu azab yang akan diterimanya semasa dia hendak mati kelak adalah :-

  1. Dia mati dengan keadaan aib
  2. Dia mati dalam kelaparan dan;
  3. Dia mati dalam keadaan dahaga sehingga air laut di dunia ini disatukan tidak dapat menghilangkan dahaganya itu.
 Manakala tiga azab akan diterimannya di dalam kubur bagi orang yang melalaikan atau melengah-lengahkan solatnya adalah :-

  1. Dia dihimpit oleh kuburnya sehingga tulang-tulang rusuknya hancur
  2. Api dibakar di dalam kuburnya dan dia diguling-gulingkan di atas baranya siang dan malam.
  3. Ular yang berbisa dengan mata berapi dan berkuku besi yang panjang dengan perjalanan sebulan akan menggigit. Sebelum dilepaskan, ular iatu akan bertempik seperti guruh berbunyi :-
"TUHANKU TELAH PERINTAHKAN AKU SUPAYA MEMUKUL KAMU KERANA KAMU MELENGAH-LENGAHKAN SOLAT SUBUH SEHINGGA TERBIT MATAHARI".

Melengah-lengahkan solat ZUHUR sehingga solat ASAR. Melengah-lengahkan solat MAGHRIB hingga solat ISYAK dan melengah-lengahkan solat ISYAK hingga FAJAR, ular itu terus memukulnya hinggalah hari kiamat. Setiap kali puluk membenamkan sehingga 70 HASTA DALAMNYA.

Sementara itu azab yang akan diterima oleh mereka melengah-lengahkan solat selepas kebangkitan nanti ialah:-

  1. Hisabnya terlalu berat
  2. Allah murka terhadapnya dan;
  3. Dia dicampakan ke dalam api neraka.
 Menurut satu lagi hadis dia akan didapati tiga baris ayat yang tertulis didahinya ialah:

'HAI KAMU MELENGAH-LENGAHKAN KEWAJIPAN TERHADAP ALLAH S.W.T "HAI KAMU YANG PATUT MENERIMA KEMURKAAN ALLAH S.W.T DAN; KINI SESALLAH KERANA KAMU MELENGAH-LENGAHKAN KEWAJIPAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T.

Sementara itu para ulama terkenal seperti Ibnu Hajar, Abu Alait Samaqandi dan lain-lain lagi telah meriwayatkan hadis-hadis ini dalam kitab-kitab mereka.

SUNGGUH PUN AKU TIDAK DAPAT MENGESAN MATANYA DALAM KITAB-KITAB ASAL MENGENAI HADIS INI, NAMUN HADIS-HADIS LAIN YANG SETENGAHNYA SUDAH PUN DI SEBUTKAN BAGI MENGUATKAN MAKSUDNYA" KATA MEREKA.

Melengah-lengahkan solat sebagaimana yang disebutkan dan seperti yang dinyatakan membawa seseorang KEKUFURAN dan oleh itu tidak ada azab yang lebih pedih darinya kerana kesalahan ini. Akan tetapi hendaklah diingat bahawa selepas seseorang itu diumumkan bersalah pun, Allah adalah bebas memaafkan kalau kehendakinya. Allah berfirman dalam kitab suci yang maksudnya

"SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK AKAN MENGAMPUNKAN DOSA ORANG YANG MEMPERSEKUTUKANNYA DENGAN SESUATU APA JUA DARIPADA KESALAHAN (SYIRIK) ITU BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA"

Kalau Allah mengampunkan sesiapa yang dikehendakinya seperti orang-orang yang melengah-lengahkan solat, maka sesungguhnya bertuahlah orang itu, tetapi sesiapa yang dapat memastikan tuahnya iatu?. Ada disebut dalam sebuah hadis bahawa Allah S.W.T akan mengadakan "

TIGA MAHKAMAH pada hari hisab kelak di antaranya :-

"MAHKAMAH PERTAMA ADALAH UNTUK MENGADILI ORANG KAFIR DAN ORANG-ORANG ISLAM DI MANA TIDAK ADA KEAMPUNAN".

"MAHKAMAH KEDUA ADALAH UNTUK MENGADILI KEWAJIPAN DAN TINGKAH LAKU SESEORANG TERHADAP YANG LAINYA. MEREKA YANG TERANIAYA AKAN DIBALAS DI SANA. BALASANNYA ADALAH SAMA ADA DIPEROLEHI DARIPADA ORANG-ORANG YANG MENZALIMI ATAU DIBAYAR OLEH ALLAH S.W.T SENDIRI KALAU DIA MAHU MENGAMPUN SESIAPA PUN".

"MAHKAMAH KETIGA AKAN MENGADILI KEWAJIPAN TERHADAP ALLAH. DI SINI PINTU RAHMAT ALLAH AKAN DIBUKA LUAS DAN AKAN MENGAMPUNI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA".

Dengan keterangan ini jelas bahawa kita patut menerima azab yang telah ditentukan untuk dosa-dosa yang telah kita lakukan. Tetapi sifat Allah yang Maha Pengasih itu tidak ada batasnya dan dapat dia mengampunkan segala-segalanya. Sementara itu Anas R.A menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda :-

"KALAU SESEORANG MENINGGAL DUNIA DENGAN BERIMAN MEMATUHI PERINTAH-PERINTAH ALLAH MENUNAIKAN SOLAT, MENGELUARKAN ZAKAT. MAKA DIA MATI DENGAN KEREDHAAN ALLAH".

Anas juga menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.W.T bersabda :-

"ALLAH S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KE MASJID, KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI KEPENTINGAN DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN PADA WAKTU TENGAH MALAM".

Abu Darda mengirim surat kepada Salman R.A katanya :

"HABISKANLAH KEBANYAKAN MASAMU DALAM MASJID AKU DENGAR RASULULLAH S.A.W BERSABDA : MASJID ADALAH RUMAH ORANG-ORANG SOLEH. ALLAH SENDIRI BERJANJI BAHAWA DIA AKAN MEMBERKATI ORANG-ORANG YANG KEBANYAKANNYA MASANYA BERADA DI DALAM MASJID." ALLAH AKAN MENGHIBURKANNYA DAN AKAN MEMUDAHKAN MENYEBERANGI TITIAN SIRATHAL MUSTAQIM DAN SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG YANG DEMIKIAN:.

 Semoga kita sentiasa dalam keampuan Allah S.W.T hendaknya. Amin.

 Tanda-tanda Bahagia

  1. Menjauhkan diri daripada urusan dunia dan senang kepada urusan akhirat
  2. Himmahnya (kemahuan) kuat terhadap ibadah dan membaca al-Quran
  3. Sedikit kata terhadap apa yang tidak diperlukan
  4. Sangat memelihara sembahyang fardhu yang lima
  5. Menjaga diri daripada yang haram dan syubhat,sedikit mahu pun banyak
  6. Bersahabat dengan golongan yang soleh dan baik
  7. Bersifat merendah diri
  8. Bersifat dermawan yang ikhlas
  9. Belas kasihan terhadap makhluk-makhluk Allah yang lain
  10. Bermanfaat kepada orang lain
  11. Selalu ingat mati dan bersiap sedia menghadapinya
Tanda-tanda Sengsara

  1. Rakus terhadap harta dunia
  2. Kemahuan kuat terhadap nafsu syahwat dan kelazatan dunia
  3. Kotor dalam perkataannya serta banyak ghibah(menceritakan cela orang lain)
  4. Meringan-ringankan sembahyang fardhu yang lima
  5. Berkawan dengan golongan yang fasik(derhaka)
  6. Buruk perangainya
  7. Sombong lagi membangga diri
  8. Enggan memberi kebaikan kepada orang lain
  9. Sedikit kasih sayang terhadap orang yang beriman
  10. Bersifat kedekut
  11. Lupa terhadap mati 
         (petikan kitab Tanhibul Ghafilin)

Tuesday, November 2, 2010

Menuju Kesempurnan


Allah berfirman :

Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu, dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Q.S. Yunus : 57]

Tafsir Ayat :

Ayat ini menerangkan tentang seruan Allah kepada seluruh manusia supaya bersegera mempercayai dan menerima Al-Quran sebagai Kitab Suci yang mulia. Di dalam ayat ini diterangkan bahawa Al-Quran merupakan pelajaran yang berharga, di samping itu, ia juga sebagai penyembuh penyakit yang berada di dalam dada, dan juga sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang beriman.

Sepatutnya manusia menjawab seruan Allah ini kerana di dalamnya penuh dengan kebaikan. Mustahil Allah menyeru kepada yang buruk dan sia-sia. Apabila dilihat daripada kandungan seruan tersebut, maka didapati bahawa ia membawa manusia menuju kepada kesempurnaan hidup. Ia adalah suatu kebenaran yang mesti diterima, kerana hanya Allah Yang Maha Sempurna yang mampu menunjukkan jalan menuju kesempurnaan.
Sesungguhnya apabila manusia mengetahui dan memahami pelajaran yang datang daripada sisi Allah ini maka ia merupakan peringkat pertama untuk menuju kesempurnaan hidup. Sama halnya dengan seorang pesakit, apabila ia mengetahui dan memahami apa yang perlu dibuat dan apa yang perlu dijauhi maka ia merupakan peringkat pertama untuk menuju kesihatan badan.

Kedua: Al-Quran merupakan penyembuh penyakit yang bersarang di dada (syifaa limaa fish-shudur). Apakah penyakit yang biasa bercokol di dada manusia? Banyak sekali macamnya, umpamanya seperti; dengki, dendam, panas baran, sombong, tamak, ragu-ragu, putus asa, rendah diri, dusta, khianat dan lain sebagainya. Penyakit yang paling teruk adalah kufur atau syirik. Dikatakan semua itu sebagai penyakit adalah kerana apabila penyakit tersebut hinggap pada manusia maka manusia itu akan sengsara dan menderita, bahkan akhirnya boleh binasa. Lihatlah bagaimana sengsaranya orang yang dengki, sombong, tamak dan seterusnya.

Penyakit disebut sebagai penyakit kerana ia mendatangkan rasa sakit kepada manusia. Dan hendaklah diketahui, rasa sakit yang diderita oleh badan tidaklah seberapa sengsaranya apabila dibandingkan dengan rasa sakit yang ditanggung oleh hati yang ada di dalam dada. Maka keistimewaan Al-Quran, ia tidak hanya sebagai pemberi penjelasan mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi dalam masa yang sama ia juga bertindak sebagai penyembuh penyakit hati.

Al-Quran merupakan ubat penawar bagi penyakit yang bersarang di dada. Al-Quran mampu mencabut penyakit tersebut dan akan membersihkan hati sebersih-bersihnya. Hati yang sakit akan kembali sihat. Bererti, dengan Al-Quran maka hati akan kembali ke fitrahnya semula; putih, bersih dan suci. Inilah peringkat kedua untuk menuju kesempurnaan hidup. Di peringkat ini, hati seseorang itu menjadi lembut, tenang, damai dan bahagia. Tidak ada penyakit yang menganggunya.

Ketiga: Al-Quran merupakan petunjuk (hidayah) yang menghantarkan manusia kepada tujuan hidup yang sebenarnya. Bererti tanpa Al-Quran maka manusia tidak akan sampai ke tujuan. Tujuan hidup manusia adalah mencapai keredhaan Allah Subhanahu wata’ala.

Dengan petunjuk Al-Quran, maka hati yang lembut, tenang dan bahagia tadi akan dihantarkan kepada keredhaan Allah. Di saat itulah hati menjadi bersinar dan bercahaya. Dan berkat petunjuk itu juga hati itu semakin bersinar dan semakin bercahaya. Akhirnya nampaklah segala sesuatu dengan terang dan jelas; tak ada lagi satupun yang tersembunyi daripada pandangan hati yang telah tajam. Nampaklah yang penting itu penting dan yang remeh itu remeh. Nampaklah yang mulia itu mulia dan yang hina itu hina. Nampaklah yang kekal itu kekal dan yang fana itu fana.

Di peringkat ketiga inilah hati yang bahagia itu menjadi semakin bahagia. Kehadiran Allah sungguh terasa di sepanjang masa. Di peringkat inilah seorang hamba itu mengetahui hakikat segala sesuatu. Susah-senang, sakit-sihat, miskin-kaya, dan apapun keadaan hidup tidak lagi menjadi dinding penghalang antara dirinya dengan Allah. Kini ia telah bersama dengan Allah. Tidak ada lagi satupun selain Allah yang boleh menganggu kebahagiaannya bersama dengan Allah; Allah Yang Maha Sempurna, Allah Yang Maha Mulia, Allah Yang Kekal dan Abadi, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allahu Akbar !!

Allah menceritakan tentang nabi Ibrahim yang telah sampai ke peringkat ini; iaitu tunduk dan patuh kepada Allah untuk bersama dengan Allah:

"Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Tunduk patuhlah!" Ibrahim menjawab: "Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam".[Q.S. Al-Baqoroh : 131]

Nabi Ibrahim menikmati hidup bersama dengan Allah di bawah bimbingan petunjuk Allah; iaitu Agama Islam. Pada hari ini petunjuk Allah itu adalah firman-firman Allah yang terkumpul di dalam Al-Quran. Oleh kerana nabi Ibrahim telah menikmati hidup di dalam Islam maka beliaupun berwasiat kepada anak keturunannya supaya mengikuti jejaknya dalam menjalani hidup di dunia ini:

“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya`qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam".[Q.S. Al-Baqoroh : 132]

Rasanya cukup jelas tentang peringkat ketiga ini; iaitu peringkat kebahagiaan yang tiada taranya. Sudahkah kita sampai ke tahap ini? Dan adakah peringkat lagi selepas ini? Ya, ada. Peringkat berikutnya adalah peringkat keempat, peringkat yang lebih tinggi daripada sebelumnya.

Keempat; Al-Quran merupakan Rahmat yang akan menjadikan manusia sebagai makhluk yang sempurna dan mampu pula menyempurnakan yang lainnya. Supaya mudah untuk difahami maka kita terangkan dengan permisalan berikut ini: Al-Quran bagaikan cahaya yang memancar ke hati manusia. Oleh kerana hati itu adalah hati yang telah sampai ke peringkat ketiga tadi maka cahaya Al-Quran diterima dengan penuh sehingga membuat hatipun menjadi bercahaya pula. Dan selanjutnya, hati yang bercahaya itu dapat pula memancarkan cahayanya kepada orang lain; kepada isteri atau suaminya, kepada anak dan orang tuanya, kepada jiran dan masyarakatnya, dan kepada siapa sahaja di alam ini.

Peringkat keempat ini telah dicapai oleh Nabi Muhammad SAW. Dengan Rahmat Allah berupa Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah maka jadilah baginda sebagai Rahmat bagi semesta alam, Allah berfirman:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.[Q.S Al-Anbiyaa : 107]

Peringkat ini merupakan peringkat yang menjadikan seseorang itu sebagai tokoh yang diteladani, pemimpin yang disegani, penyelesai masalah, pembawa kemuliaan, dan menjadi pribadi sempurna (insan kamil) yang mampu menyempurnakan orang lain pula.

Seorang hamba yang telah sampai ke peringkat ini bagaikan rembulan di malam hari; melalui cahaya yang didapatkannya daripada matahari maka ia pancarkan semula untuk menerangi jagad raya. Begitu pula hamba yang telah mendapatkan cahaya daripada Al-Quran maka ia pancarkan pula ke semesta alam. Subhanallah!!

Demikianlah 4 keistimewaan Al-Quran dalam membawa manusia kepada hidup yang sempurna menerusi ayat yang ke-57 daripada Surah Yunus diatas. Setiap keistimewaannya mampu menghantarkan kepada peringkat yang lebih tinggi sehingga akhirnya dapat mencapai kemuncak hidup yang paling sempurna. Pada saat itulah kegembiraan hakiki mereka rasakan. Tentang perkara ini Allah menyebutkannya pada ayat berikutnya:

Katakanlah: "Dengan karunia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Karunia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan".{Q.S. Yunus : 58]